Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BERITA EKSTRA: Teks penuh khutbah Jumaat yang cukup menyentuh perasaan oleh Masjid Al Noor, Christchurch

Azan berkumandang di Christchurch dan serata New Zealand pada Jumaat (22 Mac), genap seminggu sejak 50 anggota jemaah gugur dalam serangan ke atas dua masjid di bandar itu.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA EKSTRA: Teks penuh khutbah Jumaat yang cukup menyentuh perasaan oleh Masjid Al Noor, Christchurch

(Gambar-Gambar: William West, Marty Melville/AFP)

Diterbitkan : 22 Mar 2019 06:27PM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 06:44PM

CHRISTCHURCH: Azan berkumandang di Christchurch dan serata New Zealand pada Jumaat (22 Mac), genap seminggu sejak 50 anggota jemaah gugur dalam serangan ke atas dua masjid di bandar itu.

Di hadapan Masjid Al Noor, tempat bermulanya serangan minggu lalu, Imam Gamal Fouda menyampaikan khutbah Jumaat.

Kali ini, khutbahnya disampaikan bukan sahaja kepada jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat, namun juga kepada jutaan warga dan penduduk New Zealand di serata negara - termasuk Perdana Menteri Jacinda Ardern dan ribuan yang lain- yang berhimpun untuk sama-sama memperingati para mangsa.

Berikut ini kami kongsikan teks penuh khutbah penuh menyentuh perasaan dan menghibakan, tetapi memberikan cahaya dan semangat, yang disampaikan Imam Gamal Fouda hari ini (22 Mac):

'DUNIA DAPAT LIHAT KITA SEBAGAI CONTOH KASIH SAYANG'

“Jumaat lalu, saya berdiri dalam masjid ini dan melihat kebencian dan kemarahan pengganas yang membunuh dan menyebabkan 50 jemaah syahid, mencederakan 42 lain sekali gus meruntun perasaan jutaan yang lain di seluruh dunia.

“Pada hari ini di tempat sama, saya melihat dan menyaksikan perasaan kasih dan belas ihsan ribuan rakyat New Zealand dan penduduk dari segenap benua, mengisi jutaan lain yang tidak berada di sini secara fizikalnya, namun semangat.

“Pengganas ini mahu memecahbelahkan negara kita dengan ideologi jahat yang sudah memecahbelahkan dunia.

“Namun sebaliknya, kita menunjukkan New Zealand tidak dapat dipecahkan dan dunia dapat melihat kita sebagai contoh kasih sayang dan perpaduan.

“Kita amat bersedih, namun kita tidak berpecah belah. Kita masih hidup. Kita bersatu. Kita bertekad untuk tidak membiarkan sesiapa memecahbelahkan kita. Kita bertekad untuk saling menyayangi, saling menyokong antara satu sama lain."

“Ideologi jahat ketuanan kulit putih tidak membawa apa-apa makna buat kita pada mulanya, namun ia menyerang kita paling teruk. Jumlah mangsa yang terbunuh bukan biasa, namun sokongan di New Zealand amat luar biasa.

Kepada keluarga mangsa, orang tersayang anda tidak mati sia-sia. Darah mereka mengalir dengan benih harapan. Menerusi mereka, dunia melihat keindahan Islam dan keindahan penyatuan kita.

Allah Maha Kuasa berfirman: 'Janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh di jalan Allah itu orang-orang yang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa)'

“Mereka adalah yang terbaik di kalangan kita, diambil daripada kita pada hari yang terbaik, di tempat terbaik dan melaksanakan suruhan paling mulia.

“Mereka bukan hanya syahid kerana Islam, namun negara ini.

Kami kehilangan anda, namun New Zealand memperoleh penyatuan dan kekuatan.

Pemergian anda bukan hanya kesedaran untuk negara, tetapi bagi seluruh kemanusiaan."

Syahid anda adalah satu kehidupan baru untuk New Zealand dan peluang kemakmuran buat ramai.

TERIMA KASIH, TERIMA KASIH, TERIMA KASIH...

“Kita berhimpun di sini, dengan semua kepelbagaian adalah bukti kemanusiaan bersama.

Kita berada di sini, dalam bilangan ratusan malah ribuan namun dengan satu tujuan - agar kebencian terungkai dan kasih sayang akan menggantikannya.

Kita diajar oleh Nabi Muhammad (s.a.w) bahawa kita tidak dapat benar-benar menunjukkan kesyukuran kepada Allah s.w.t jika kita tidak berupaya berterima kasih kepada sesama insan.

“Kepada rakyat New Zealand - Terima kasih.

Terima kasih atas air mata anda.

Terima kasih untuk haka anda.

Terima kasih atas bunga anda.

"Kepada Perdana Menteri - terima kasih.

Terima kasih atas kepimpinan anda, ia satu pengajaran bagi kepimpinan dunia.

Terima kasih kerana mendakapi erat keluarga kami dan memberikan kami penghormatan dengan sehelai selendang.

Terima kasih atas kata-kata anda dan tangisan simpati anda.

Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada kami.

Terima kasih kepada pemerintah New Zealand dan semua individu baik hati yang menunjukkan kepada kami yang kami penting dan tidak dilupakan.

Terima kasih kepada pasukan polis dan perkhidmatan barisan pertama. Anda menarungkan nyawa anda untuk kami setiap hari.

Terima kasih kepada jiran-jiran yang membuka pintu untuk menyelamatkan kami daripada pembunuh itu.

Terima kasih kepada anda yang menghentikan kereta anda untuk membantu kami.

Terima kasih kepada anda yang membawakan kami makanan dan memapah kami ketika kami tidak berdaya.


Terima kasih New Zealand kerana mengajar dunia erti sebenar cinta dan kasih sayang.

Kepada saudara-maraku yang hadir hari ini untuk menunaikan solat Jumaat.

Terima kasih kerana berhimpun sekali lagi. Memang mudah untuk rasa kehilangan selepas trauma yang anda dan saya alami. Namun sesungguhnya janji Allah kepada kita adalah benar:

"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar - (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya;"

Terima kasih kerana menunjukkan kekuatan dan pengampunan. Terima kasih kerana kemarahan anda yang terkawal dan sifat rahmah anda yang melimpah.

Terima kasih atas ketabahan anda dan berdiri teguh dalam saat-saat di mana ramai lain mungkin kecundang.

KHUTBAH KEDUA: ISLAMOFOBIA WUJUD

Islamofobia membunuh. Masyarakat Islam merasakan keperitan ini bertahun-tahun lamanya. Ia membunuh di Kanada dan kekejamannya disasarkan ke atas remaja di Norway dan ke atas masyarakat Muslim tidak berdosa di UK, Amerika Syarikat dan negara-negara lain seantero dunia.

Islamofobia wujud. Ia merupakan kempen sengaja bertujuan mempengaruh orang untuk menyahinsanikan dan membuat orang takut kepada masyarakat Muslim.

Takut kepada apa yang kami pakai. Takut kepada apa yang kami makan. Takut kepada cara kami beribadah dan takut kepada cara kami mengamalkan agama.

Kami menyeru kepada pemerintah-pemerintah dunia untuk menghentikan kata-kata berbaur kebencian dan politik yang menakut-nakutkan.

Gugurnya 50 orang tidak berdosa dan tercederanya 42 lagi Jumaat lalu bukan sesuatu yang tiba-tiba. Ia hasil retorik anti-Islam dan anti-Muslim yang dijaja sesetengah pemimpin politik sebahagian agensi media dan lain-lain.

Kejadian minggu lalu menjadi bukti nyata kepada dunia bahawa pengganasan tiada warna, tiada bangsa dan tiada agama.

Kebangkitan ketuanan kulit putih dan pelampau sayap kanan adalah satu ancaman sejagat terhadap seluruh kemanusiaan dan ia mesti dihentikan sekarang!

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih kepada saudara mara Islam dan bukan Islam yang hadir hari ini. Saya turut berterima kasih kepada tetamu antarabangsa yang hadir bersama kami untuk menyokong serta membantu kami dalam masa-masa sukar ini."

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan