Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Berita baik! Jemaah haji dan umrah boleh dapat balik bayaran VAT

GAZT akan mengeluarkan senarai penyedia khidmat supaya para pengunjung boleh menghubungi syarikat-syarikat itu bagi mendapat bayaran balik VAT.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Dec 2017 05:44PM Dikemas Kini : 27 Dec 2017 01:08AM

RIYADH: Ini berita baik bagi para jemaah umrah atau haji dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan banyak negara lain.

Cukai Nilai Tambah (VAT) bagi barangan yang dibeli di Arab Saudi oleh para jemaah haji dan umrah serta pengunjung dari negara-negara bukan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), kini boleh mendapat bayaran balik bagi VAT.

Penguasa Utama Zakat dan Cukai (GAZT), yang bertanggungjawab ke atas pengurusan pelaksanan, pentadbiran dan penguatkuasaan VAT di Arab Saudi, sedang menimbangkan cara untuk membuat proses bayaran balik tersebut. Demikian menurut laporan akhbar Al-Eqtisadiah pada Ahad (24 Dis) yang memetik sumber rasmi dari penguasa itu.

"Para pengunjung serta jemaah haji dan umrah akan mendapat semula wang VAT jika mereka membayarnya semasa membeli barangan di sini," menurut Pengarah Operasi VAT, Hamoud Al-Harbe.

"GAZT sedang meneliti kemungkinan menubuhkan pejabat-pejabat di banyak lokasi bagi pembayaran balik VAT. Ini termasuk lapangan terbang dan sempadan darat dengan negara-negara selain anggota GCC," tambah beliau.

Encik Hamoud berkata GAZT akan mengeluarkan senarai penyedia khidmat supaya para pengunjung boleh menghubungi syarikat-syarikat itu bagi mendapat bayaran balik VAT.

Para pengunjung dan jemaah dari negara-negara bukan anggota GCC perlu menyerahkan permohonan bagi bayaran balik VAT, lapor Saudi Gazette.

Encik Hamoud menjelaskan, para pengunjung dan jemaah dari negara-negara anggota GCC, bagaimanapun, tidak akan dikecualikan daripada VAT.

Encik Hamoud turut mendedahkan sejauh ini lebih 83,000 perusahaan sudah berdaftar dalam sistem VAT, lapor Saudi Gazette.

Beliau memberi amaran bahawa syarikat-syarikat yang masih belum berdaftar akan dikenakan denda.

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan