Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beri alasan kukuh sebelum dibenar lakukan perjalanan lebih 10km semasa PKP

Orang awam yang ingin melakukan perjalanan lebih 10 kilometer (km) dari rumah masing-masing dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Anggaran Waktu Membaca:
Beri alasan kukuh sebelum dibenar lakukan perjalanan lebih 10km semasa PKP

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 11:54AM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 12:06PM

KUALA LUMPUR: Orang awam yang ingin melakukan perjalanan lebih 10 kilometer (km) dari rumah masing-masing dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Menurutnya lagi, orang ramai perlu mengemukakan bukti kukuh seperti menunjukkan bil api air sekiranya ada urusan rasmi atau keperluan penting yang perlu dilakukan.

Encik Abdul Hamid berkata perjalanan lebih 10km itu hanya ditujukan kepada orang awam yang mempunyai alasan kukuh hendak keluar dan mempunyai urusan yang dibenarkan seperti pergi ke bank atau ke kedai membeli barangan tertentu.

"Bagaimanapun, perjalanan lebih 10km ini tidak tertakluk kepada orang awam yang ingin mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital.

"Misalnya, jika orang awam ingin mendapatkan rawatan yang mungkin jauh dari tempat tinggalnya iaitu lebih kurang 15km dari klinik atau hospital, ia tidak mempunyai masalah (mendapatkan rawatan) dan hanya perlu tunjuk surat atau dokumen daripada doktor yang menyatakan mereka ini memerlukan rawatan perubatan," katanya ketika ditemui Bernama di Bukit Aman pada Jumaat (3 Apr).

Encik Abdul Hamid berkata pihaknya amat memahami situasi berkenaan dan polis dibenarkan menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai melakukan perjalanan lebih 10km bagi mendapatkan rawatan perubatan jika ada keperluan.

"Insya-Allah mereka (anggota polis) akan faham situasi ini, saya telah berikan mereka kuasa seluas-luasnya untuk menggunakan budi bicara mereka berdasarkan fakta di tempat bertugas masing-masing.

"Sebagai contoh, jika terdapat orang awam membawa anak atau orang tua yang tidak sihat untuk mendapatkan rawatan tetapi tidak mempunyai kad, mereka dibenarkan untuk pergi ke hospital tetapi perlu menjelaskan keadaan mereka kepada anggota polis yang bertugas membuat sekatan jalan raya," katanya.

Menurutnya lagi, beliau sentiasa memberi peringatan kepada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya jika terdapat kes orang ramai yang memerlukan rawatan atau kecemasan supaya tidak ditahan.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata polis dibenarkan menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan lebih 10km bagi mendapatkan barangan makanan mahupun perubatan sekiranya terdapat keperluan.

Ia termasuk perjalanan merentasi negeri walaupun sebelum ini peraturan PKP fasa kedua menghadkan perjalanan tidak melebihi 10km.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan