Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Berhimpun semasa penularan COVID-19 menyalahi syariat agama, kata ulama Al-Azhar

Majlis Ulama Kanan Al-Azhar pada Jumaat (3 Apr) bersetuju bahawa berhimpun semasa penularan wabak menyalahi syariat agama, sekali pun bertujuan ibadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Berhimpun semasa penularan COVID-19 menyalahi syariat agama, kata ulama Al-Azhar

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Apr 2020 11:02AM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 11:27AM

KUALA LUMPUR: Majlis Ulama Kanan Al-Azhar pada Jumaat (3 Apr) bersetuju bahawa berhimpun semasa penularan wabak menyalahi syariat agama, sekali pun bertujuan ibadah.

Perkara itu dinyatakan dalam siri kedua fatwa-fatwa berkaitan penularan wabak COVID-19 yang dipaparkan dalam satu kenyataan berbahasa Arab di laman Facebook majlis berkenaan.

Menurut kenyataan itu, memandangkan wabak tersebut boleh menular menerusi sentuhan fizikal, Majlis Ulama sepakat bahawa sebarang perhimpunan dan ajakan ke arahnya, termasuk berdoa beramai-ramai merupakan satu kesalahan dari segi syarak.

“Sebaiknya ia dilakukan di rumah masing-masing”, menurut kenyataan itu.

Majlis Ulama yang diketuai Imam Besar Al-Azhar Sheikh Ahmed el-Tayeb itu turut meluluskan lima fatwa lain berhubung penularan wabak COVID-19, antaranya larangan menyebar spekulasi dan mempromosikan khabar angin yang tidak disahkan kesahihannya.

“Ia perbuatan yang dikutuk dalam Islam kerana boleh menyebabkan mudarat kepada orang lain dan menimbulkan ketakutan”, katanya.

Kenyataan itu juga menyatakan orang ramai (dalam hal ini Muslim) wajib mematuhi arahan pemerintah termasuk penutupan masjid bagi menjaga kemaslahatan umum semasa pandemik.

Majlis itu turut menegaskan larangan memonopoli barangan dan mengeksploitasi keperluan rakyat semasa pandemik dan bencana sehingga menyebabkan kenaikan harga yang melampau.

Selain itu, Majlis berkenaan juga memutuskan wajib mematuhi arahan khusus kuarantin dan perintah-perintah lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak.

Dalam hal ini, termasuklah larangan menyembunyikan maklumat berkaitan penyakit yang hanya akan menjejas keselamatan petugas kesihatan.

Fatwa terakhir dalam siri kedua ini menyatakan agihan dan pembayaran zakat boleh disegerakan sebelum waktu kelazimannya dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 dan kesannya terhadap asnaf.

Terdahulu dalam siri pertama yang dikeluarkan pada 15 Mac, Majlis Ulama Kanan Al-Azhar meluluskan fatwa harus menangguhkan solat Jumaat, termasuk solat berjemaah di masjid, jika perlu, menyusuli penularan wabak COVID-19 .

Sehingga tengah hari Jumaat (3 Apr), media melaporkan wabak COVID-19 sudah menular ke lebih 200 negara dan wilayah, yang menyaksikan jumlah kes disahkan positif melebihi sejuta orang.

Sumber : Bernama/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan