Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bentuk masa depan baru bersama Bersatu, usul Muhyiddin

Perhimpunan agung tahunan kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bermula hari ini (28 Dis) akan memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara dan membentuk masa depan Malaysia baharu yang lebih gemilang.

Anggaran Waktu Membaca:
Bentuk masa depan baru bersama Bersatu, usul Muhyiddin

Encik Muhyiddin Yassin. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 28 Dec 2018 11:07AM Dikemas Kini : 28 Dec 2018 11:10AM

KUALA LUMPUR: Perhimpunan agung tahunan kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bermula hari ini (28 Dis) akan memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara dan membentuk masa depan Malaysia baharu yang lebih gemilang.

Presiden Bersatu Encik Muhyiddin Yassin berkata selepas menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH), parti itu perlu memainkan peranan dalam mendukung hasrat kerajaan melaksanakan semua agenda, manifesto, cadangan perubahan dan pentadbiran termasuk di peringkat Parlimen, menggubal undang-undang baharu dan memansuhkan undang-undang lama.

"Kita kini adalah gerakan politik baharu, haluan baharu. Kita bentuk masa depan negara baharu, ini yang kita tumpukan. Apabila hala tuju sebegitu rupa dan jelas, maka rakyat tahu kita boleh buat (memerintah),” katanya dalam wawancara dengan beberapa organisasi media baru-baru ini.

Wawancara itu diadakan bersempena perhimpunan agung kali kedua parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula malam ini hingga Ahad.

Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara, termasuk 98 bahagian sayap Srikandi dan 115 sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Perhimpunan itu bermula malam ini dengan perasmian perhimpunan sayap Srikandi dan Armada yang akan disempurnakan oleh Encik Muhyiddin, manakala esok (29 Dis) akan berlangsung perhimpunan kedua-dua sayap. Malam esok, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan perhimpunan agung itu, dengan perhimpunan berlangsung pada Ahad.

Encik Muhyiddin berkata paling utama adalah bagaimana parti itu boleh membantu dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

Katanya Bersatu juga perlu memainkan peranan dengan berani membuat kenyataan dan pandangan terbuka jika ada dasar kerajaan yang dilihat tidak tepat atau buat ‘pusingan-U’ kerana perubahan yang berlaku ketika ini memerlukan sokongan dan masa untuk dijayakan sepenuhnya.

Beliau mengakui terdapat beberapa perkara yang tidak sempurna sepanjang tujuh bulan pentadbiran PH khasnya berkaitan kehendak rakyat namun percaya, jika diberikan masa secukupnya dan kerjasama semua pihak termasuk penjawat awam, segala perancangan dapat dilakukan sebaik-baiknya.

Sementara itu, Encik Muhyiddin berkata parti itu lebih terbuka dan sesiapa sahaja yang berminat boleh menyertai mereka dengan syarat, perlembagaan parti diutamakan dan sanggup berjuang demi negara.

Jelasnya, Bersatu juga mengamalkan sikap telus dalam menentang musuh negara, khasnya rasuah hingga ke hujung pangkal. 

Sambil menafikan cakap-cakap perjuangan parti itu mirip kepada perjuangan UMNO kerana Bersatu diterajui ramai pemimpin daripada parti berkenaan, Encik Muhyiddin berkata rakyat pasti dapat menilai sendiri bahawa Bersatu dan komponen lain dalam PH sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat daripada kehendak parti.

Ditanya mengenai stigma masyarakat kononnya bekas pemimpin UMNO cuba menyelamatkan diri daripada kes rasuah dengan menyertai Bersatu, Encik Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Bersatu bukanlah rumah perlindungan dan sesiapa yang didapati bersalah, tidak akan selamat.

Jelasnya, ini kerana, parti tersebut tidak akan sesekali melindungi mana-mana anggota atau pemimpin baik dari dalam atau luar parti sendiri.

Encik Muhyiddin menarik perhatian, isu lompat parti dan penerimaan bekas pemimpin pembangkang ini harus dilihat dari konteks yang besar kerana kelak ia akan mewujudkan persaingan positif demi menambah kekuatan PH. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan