Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Benarkah tidak boleh makan durian dan minum kopi pada masa sama?

Nikmati buah durian dalam kadar sederhana dan amalkan pemakanan sihat

Anggaran Waktu Membaca:
Benarkah tidak boleh makan durian dan minum kopi pada masa sama?

Gambar fail durian.

Diterbitkan : 22 Jul 2018 09:52PM Dikemas Kini : 22 Jul 2018 09:55PM

KUALA LUMPUR: Apabila tiba musim durian, peminat raja buah itu pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kelazatannya.

Apatah lagi dengan harga raja buah itu turun mendadak musim ini.

Sejak beberapa hari lalu, tular di wadah-wadah media sosial mengenai durian yang tidak boleh digandingkan dengan beberapa jenis makanan dan minuman lain, seperti kopi, ketam dan minuman bergas.

Gabungan makanan tersebut dikatakan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan serangan jantung.

Namun, menurut seorang pakar kardiologi, Dr Beni Isman Rusani, mitos gabungan makanan yang boleh menyebabkan serangan jantung ini adalah tidak benar.

“Mitos gabungan durian dan kopi ini adalah tidak benar. Serangan jantung adalah disebabkan mendapan lemak dalam saluran darah yang membekalkan darah ke jantung," jelas beliau.

“Proses ini adalah proses berterusan dan ia juga disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. Jadi, jika ada yang percaya gabungan ini yang menyebabkan serangan jantung, itu tidak betul,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Dr Beni Isman, peminat durian dinasihatkan supaya memakan raja buah itu dalam kadar yang sederhana dan tidak terlalu banyak pada satu-satu masa.

Sementara itu, menurut Ketua Pakar Diet Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw, setakat ini tiada kes serangan jantung atau tekanan darah tinggi yang dilaporkan kerana gabungan durian dan makanan lain.

“Durian mempunyai kandungan sulfur yang tinggi, sekiranya seseorang itu memakan durian dalam kadar yang banyak, ia akan menyebabkan proses pengeluaran toksin dari badan itu lambat," kata Mary.

“Itu adalah sebabnya jika seseorang itu berasa tidak senang apabila makan durian dengan gabungan seperti kopi atau sebagainya,” tambah Mary, ketika dihubungi Astro AWANI.

Ujarnya lagi, kombinasi makanan yang tular di media sosial adalah sangat kontroversial. Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan mitos yang tersebar.

Sebaliknya, Mary menggesa agar peminat durian menikmati buah itu dalam kadar sederhana dan mengamalkan pemakanan sihat mengikut piramid makanan yang disarankan pihak kerajaan, lapor Astro Awani.

Sumber : Agensi berita/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan