Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Belon udara panas cara terbaru nikmati pemandangan bandar Melaka

Para pengunjung ke Freeport A'Famosa Outlet (FAO) di Alor Gajah, Melaka, berpeluang menghayati pemandangan dari udara dengan menaiki belon udara panas yang disediakan pusat beli-belah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Belon udara panas cara terbaru nikmati pemandangan bandar Melaka

Belon udara panas yang disediakan oleh pusat beli-belah Freeport A'Famosa Outlet (FAO) di Alor Gajah, Melaka, (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 09 Sep 2019 11:02PM Dikemas Kini : 09 Sep 2019 11:04PM

ALOR GAJAH: Para pengunjung ke Freeport A'Famosa Outlet (FAO) di Alor Gajah, Melaka, berpeluang menghayati pemandangan dari udara dengan menaiki belon udara panas yang disediakan pusat beli-belah itu. Ia adalah inisiatif tersendiri pusat beli-belah itu untuk membantu kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif A’Famosa Resort, Julian Lau, berkata kegiatan belon udara panas - yang bermula pada 16 Ogos hingga 15 November - itu mengenakan kadar bayaran sebanyak RM100 (S$33) seorang bagi warga negara dan RM150 (S$49) seorang bagi warga asing. Sepanjang tempoh khidmat belon udara disediakan, ia dibuka kepada orang ramai dari jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi dan dari 6.30 petang hingga 9.30 malam.

“Kami memilih belon udara panas sebagai aktiviti julung kali di FAO bagi memberi peluang kepada pelancong dari dalam atau luar negara untuk menghayati pemandangan dari udara dan menikmati pengalaman yang belum pernah mereka rasai.

“Kami berharap dengan adanya aktiviti belon udara panas di pusat beli-belah ini, ia akan memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2019 yang sedang giat dipromosikan dengan tema 'A Gateway to Historic Malaysia',” terang Encik Lau.

Beliau berkata aktiviti belon udara panas itu juga dijangka berpotensi membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong domestik dan luar negara ke Melaka sekali gus meningkatkan pendapatan sektor pelancongan negeri.

Belon udara panas itu dikawal sepenuhnya oleh pengemudi profesional dari Jordan yang fasih berbahasa Malaysia iaitu Encik Omar Zaid. Ia boleh memuatkan seramai tiga orang dengan berat maksimum 200 kilogram dan berada pada paras ketinggian kira-kira 100 kaki selama 10 minit bagi setiap sesi.

Pada 24 Ogos lalu, Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Muhamad Jailani Khamis dilaporkan berkata kerajaan negeri yakin sasaran 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 mampu dicapai berdasarkan bilangan kira-kira 18 juta pengunjung ke Melaka dicatatkan hingga suku ketiga tahun ini. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan