Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Belanjawan 2020 beri Singapura apa yang diperlukan bagi hadapi cabaran besar dunia - PM Lee

 Pemerintah sedang menyiapkan Belanjawan Negara yang sesuai dengan keadaan sejagat sekarang dan memberi Singapura apa yang diperlukannya bagi menghadapi cabaran-cabaran besar dunia. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Nov 2019 06:04PM Dikemas Kini : 26 Nov 2019 09:16PM

KOREA SELATAN: Pemerintah sedang menyiapkan Belanjawan Negara yang sesuai dengan keadaan sejagat sekarang dan memberi Singapura apa yang diperlukannya bagi menghadapi cabaran-cabaran besar dunia.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata demikian kepada media Singapura pada akhir Sidang Puncak ASEAN-Korea Selatan di bandar Busan.

Ekonomi Singapura kembali bangkit dalam suku ketiga dengan mencatat pertumbuhan 0.5% berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Pertumbuhan itu juga mengelakkan Singapura daripada mengalami kemelesetan teknikal.

Walau bagaimanapun Penguasa Kewangan Singapura sudah menyatakan bahawa ekonomi negara mungkin terus menghadapi cabaran-cabaran tahun depan.

PM Lee berkata sama ada Singapura mengalami kemelesetan tahun depan banyak bergantung kepada faktor-faktor luar seperti perang dagangan antara Amerika Syarikat dengan China.

"Kita sedang memantaunya. Saya berpendapat dalam keadaan ini, huraiannya bukan dengan mengadakan pakej rangsangan tetapi mengambil kesempatan daripada keadaan ekonomi yang lemah untuk menggandakan usaha kita bagi melakukan peningkatan, latihan dan daya penghasilan supaya kita dapat memanfaatkan apa yang mereka boleh lakukan," kata PM Lee.

Dan pemerintah sedang membuat persiapan bagi tujuan itu.

"Salah satu perkara utama yang kita lakukan bagi Belanjawan tahun depan dan saya fikir Heng Swee Keat sebagai Menteri Kewangan, bahkan bukan beliau sahaja tetapi juga semua agensi lain, sedang bekerja bagi menyiapkan satu Belanjawan yang utuh dan sesuai dengan keadaan dunia sekarang dan apa yang diperlukan ekonomi Singapura," tambah PM Lee.

Semasa bercakap di salah satu sesi pleno Sidang Puncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan pula PM Lee menyarankan beberapa idea untuk memajukan lagi hubungan antara kedua-dua pihak.

Salah satunya dengan mengukuhkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea.

PM Lee juga berkata Perkongsian Menyeluruh Ekonomi Serantau (RCEP) merupakan satu lagi wadah untuk ASEAN dan Korea Selatan mengukuhkan integrasi ekonomi dan meningkatkan potensi rantau ini.  

Sumber : CNA/MM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan