Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Belajar dari kesilapan UMNO, Mahathir gesa anggota Bersatu

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir Mohamad, berpesan kepada para anggotanya supaya belajar daripada kesilapan bekas parti memerintah, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana ia boleh menyebabkan mereka kehilangan sokongan orang ramai.

Anggaran Waktu Membaca:
Belajar dari kesilapan UMNO, Mahathir gesa anggota Bersatu

Sambutan ulang tahun ke-3 Bersatu pada 12 Sep (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Sep 2019 08:45PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 08:47PM

SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir Mohamad, berpesan kepada para anggotanya supaya belajar daripada kesilapan bekas parti memerintah, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana ia boleh menyebabkan mereka kehilangan sokongan orang ramai.

Berucap pada Khamis (12 Sep) dalam acara sambutan ulang tahun ketiga penubuhan Bersatu, perdana menteri Malaysia itu mengingatkan para anggota parti, perjuangan mereka tidak sepatutnya demi kuasa dan wang jika mereka ingin kekal dalam kerajaan.

"Dalam pilihan raya umum ke-14, mereka (parti pembangkang) berjanji untuk menambah gaji, beri wang kepada rakyat kerana mereka percaya rakyat akan menyokong mereka, namun akhirnya ditolak oleh rakyat.

"Kita tidak akan guna wang. Sebaliknya kita bergantung kepada semangat kebangsaan, bangsa kita untuk mendapatkan sokongan rakyat. Bukan kerana kita menghabiskan wang untuk mereka," kata beliau.

Dr Mahathir memberi amaran jika Bersatu bermain politik wang seperti parti yang kalah tahun lalu, "kita juga akan kalah".

Dr Mahathir merupakan presiden UMNO dan perdana menteri Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, sebelum bersara pada usia 78 tahun.

Tahun lalu beliau bergabung dengan mantan seteru politiknya untuk membentuk Pakatan Harapan (PH) dan meraih kemenangan mengejut, lantas menggulingkan ikatan Barisan Nasional (BN) yang pernah dipimpinnya dahulu.

Sementara itu UMNO, yang buat masa ini menghadapi cabaran sebagai parti pembangkang, dijadual membentuk pakatan rasmi dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hujung minggu ini.

Semasa acara pada Khamis, Dr Mahathir memberitahu para hadirin bahawa PH menang bukan bukan atas kekuatannya tetapi sebab parti lawan yang lemah.

"Meskipun ia bukan sesuatu yang sedap didengar, kita perlu akur bahawa mereka kalah kerana rakyat menolak mereka secara keras," kata beliau seperti dilaporkan MalayMail.

AZMIN ALI KELIHATAN HADIR DOA SELAMAT BERSATU

Turut hadir di perhimpunan Bersatu adalah beberapa pemimpin parti komponen PH, termasuk timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, juga dari PKR.

Enzik Azmin sebelum itu menghadiri majlis doa selamat Bersatu dengan duduk berhampiran dengan para pemimpin kanan Bersatu, menurut laporan MalayMail.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu baru-baru ini terpalit dengan satu skandal video seks yang dilaporkan meningkatkan lagi pergelutan dalaman parti PKR.

Media turut melaporkan Encik Azmin kerap tidak hadir dalam mesyuarat kepimpinan PKR dan biro poliltik sejak November lalu.

Sumber : CNA/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan