Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas ustaz didakwa cabul 10 murid lelaki

Seorang bekas guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan merangsang dan 18 pertuduhan mencabul 10 murid lelakinya sejak Februari 2014 sehingga April 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas ustaz didakwa cabul 10 murid lelaki

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 15 May 2018 10:04PM Dikemas Kini : 15 May 2018 10:06PM

KAJANG: Seorang bekas guru agama didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan merangsang dan 18 pertuduhan mencabul 10 murid lelakinya sejak Februari 2014 sehingga April 2017.

Mohd Farid Yusof, 31, bekas guru Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah rendah agama integrasi mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan merangsang dua murid berusia 10 dan 11 tahun untuk melakukan perbuatan lucah melampau di bilik guru lelaki sebuah sekolah rendah agama integrasi di Bangi, masing-masing pada September 2015 dan November 2016.

Dia didakwa mengikut Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Farid yang kini bekerja sendiri turut didakwa atas 18 pertuduhan melakukan kekerasan jenayah, bagi maksud mencabul kehormatan 10 murid berusia antara sembilan dan 12 tahun termasuk seorang daripada mangsa yang dirangsang itu.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di bilik guru lelaki, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan tiga buah bilik darjah, di sekolah itu antara Februari 2014 dan April 2017 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan  itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria tidak menawarkan wang jaminan terhadap tertuduh mengambil kira kes tersebut membabitkan 10 mangsa yang merupakan kanak-kanak manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 (S$6,760) dengan seorang penjamin yang terdiri dari anggota keluarga berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu kesemua mangsa dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

Awal dari itu, tertuduh yang hadir ke mahkamah ditemani seorang lelaki menutup mukanya dengan tangan dan menundukkan kepalanya sepanjang masa ketika berada di luar bilik bicara sehingga dia dipanggil masuk untuk prosiding pendakwaan.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan