Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas pengurus jualan didakwa hantar komen jelik kepada Sultan Muhammad V

Seorang bekas pengurus jualan di sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menghantar komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, di laman Facebooknya, bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengurus jualan didakwa hantar komen jelik kepada Sultan Muhammad V

Sultan Muhammad V. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 11 Feb 2019 10:42PM Dikemas Kini : 11 Feb 2019 10:44PM

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus jualan di sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menghantar komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, di laman Facebooknya, bulan lalu.

Eric Liew Chee Ling, 46 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan berdiri di luar kandang tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Lelaki itu yang memakai kemeja lengan panjang warna kelabu serta seluar slack dan kelihatan bersahaja didakwa sudah menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profile Facebook “Eric Liew” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-15, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, antara jam 7.01 malam dan 9.23 malam, 6 Jan lalu.

Komen Liew itu kemudian dibaca pada 6 Jan lepas, jam 8.00 malam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Dang Wangi, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$17,000) atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 (S$333) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Muhamad Asyraf Md Kamal mencadangkan jaminan RM20,000 (S$6,600) dengan seorang penjamin terhadap Liew mengambil kira keseriusan kes tersebut apabila komen yang dibuat menyentuh kehidupan peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Peguam New Sin Yew yang mewakili Liew memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dan memberi jaminan yang lebih munasabah.

Timbalan Pendakwa Raya SKMM Mohd Sophian Zakaria pula berkata jaminan yang dicadangkan adalah memadai mengambil kira kes itu dikategorikan kes berprofil tinggi kerana membabitkan pemimpin tertinggi negara.

Mahkamah membenarkan Liew diikat jamin RM8,000 (S$2,700) dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengguna Facebook memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V, yang mencetuskan kemarahan netizen sebelum beberapa pihak tampil membuat aduan polis dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan