Images
  • bekas pengarah jkr
    (Gambar: BERNAMA)

Bekas pengarah JKR Melaka dipenjara 15 bulan atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram

PUTRAJAYA: Bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka Khalid Omar terpaksa meringkuk dalam penjara selama 15 bulan serta membayar denda RM5 juta (S$1.6 juta) selepas gagal dalam rayuan terakhir berhubung sabitan terhadapnya bagi 13 pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan pengubahan wang haram.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hanipah Farikullah membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas menolak rayuan Khalid. 

Dalam penghakimannya, Hakim Hanipah berkata sabitan Khalid adalah selamat dan panel itu bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Sesyen, yang dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi, bahawa tiada keraguan wang yang diterima daripada subkontraktor digunakan untuk aktiviti sukan dan sosial JKR sebagaimana didakwa oleh tertuduh.

Panel itu turut mengesahkan sabitan Khalid bagi kesalahan pengubahan wang haram membabitkan wang tunai RM375,000 (S$122,054) yang didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka pada 15 Ogos 2016.

Hakim Hanipah, yang bersidang bersama-sama Hakim Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali, bagaimanapun membenarkan rayuan Khalid untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 15 bulan serta denda RM31 juta (S$10 juta) bagi empat lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Khalid, 61 tahun, merayu terhadap hukuman penjara 15 bulan dan denda RM36 juta (S$11.7 juta) yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Julai 2018 selepas dia didapati bersalah atas 13 pertuduhan rasuah dan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah Sesyen mengenakan hukuman penjara 15 bulan bagi setiap pertuduhan rasuah serta 15 bulan dan denda RM36 juta bagi lima pertuduhan pengubahan wang haram serta memerintahkan Khalid menjalani hukuman itu secara serentak.

Sebelum ini, Khalid gagal dalam rayuannya di peringkat Mahkamah Tinggi pada 11 Februari tahun lepas.

Khalid, yang bebas dengan jaminan RM350,000 (S$113,765) sementara menunggu rayuan, perlu menjalani hukuman penjara mulai hari ini.

Bagi pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dia didakwa menerima RM196,200 (S$63,854) di pejabat JKR Melaka di Jalan Taming Sariantara Mac 2014 dan Ogos 2016.

Khalid turut berdepan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM5.2 juta (S$1.6 juta)dalam bentuk RM206,396.16 dalam akaun Amanah Saham Bumiputera 2; RM506,735.92 (S$164,919) dalam akaun Tabung Haji; RM1,984,798.08 (S$645,073) dalam akaun Amanah Saham Wawasan 2020 dan lebih RM2.13 juta (S$693,478) dalam akaun Amanah Saham Didik.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di Melaka antara 1 Sept 2015 dan 15 Ogos 2016 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Tertuduh diwakili sepasukan peguam yang diketuai Ragunath Kesavan manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

- BERNAMA/HA/ha

Top