Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas pemimpin UMNO yang sertai Bersatu tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU ke-15

Bekas pemimpin UMNO yang diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh memegang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai ujian keikhlasan mereka, kata Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemimpin UMNO yang sertai Bersatu tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU ke-15

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: Sadiq Asyraf/AFP)

Diterbitkan : 29 Dec 2018 11:55PM Dikemas Kini : 29 Dec 2018 11:58PM

PUTRAJAYA: Bekas pemimpin UMNO yang diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh memegang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai ujian keikhlasan mereka, kata Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Mengakui tempoh itu lama, Dr Mahathir bagaimanapun berkata ujian tersebut tidak boleh dipercepat dan hanya mereka yang benar-benar ikhlas serta membuang budaya UMNO, yang sesuai untuk memegang jawatan.

“Kita akan tentukan mereka tidak diberi peluang mengembang fahaman dan cara-cara mereka, iaitu cara UMNO. Bersatu bersih dan kita akan tentukan ia terus bersih.

“Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan bekerjasama dengan kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini (29 Dis).

DR M. AKUI RAMAI TIDAK SENANG BERSATU AMBIL ORANG UMNO

Beliau berkata ramai yang tidak senang melihat penerimaan bekas anggota UMNO oleh Bersatu kerana bimbang mereka akan membawa masuk budaya UMNO. Dr Mahathir berkata Bersatu tidak mudah menerima bekas anggota UMNO dan menegaskan rekod mereka akan diteliti, selain terdapat syarat lain yang perlu dipatuhi.

Menurut Dr Mahathir, Bersatu akan menjadi pelindung kepada orang Melayu. Bagaimanapun, katanya parti itu hanyalah pelindung sementara kerana pelindung sebenar ialah orang Melayu itu sendiri.

Malah Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan pewaris UMNO, tetapi akan bertanggungjawab kepada orang Melayu dan Bumiputera.

PM Mahathir menambah, Bersatu yang ditubuh untuk menyelamatkan orang Melayu dan Bumiputera tidak akan berdiam diri dan membiar kehancuran mereka berterusan, lantaran kehilangan pemimpin dan haluan selepas tewasnya UMNO. 

MAHATHIR: ORANG MELAYU "KEHILANGAN HALUAN"

"Hari ini orang Melayu berada dalam keadaan yang tidak menentu dan kehilangan haluan. Parti mereka (UMNO) kalah dan berpecah sehingga secara berkesan tidak wujud lagi.

Pemimpin mereka bertelagah dan ahli tidak tahu apa yang sudah jadi pada mereka. 

"Ada yang keluar dari UMNO, ada cuba hidupkan UMNO. Ada yang masih fikir mereka sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendirikan kerajaan campuran. Ada pemimpin yang percaya mereka akan pimpin kerajaan campuran baru ini," katanya.

Dr Mahathir berkata UMNO sudah dihancurkan oleh pemimpin yang tamak dan menganggap manusia boleh dibeli dengan duit.

"Malangnya yang sebenar menjadi mangsa ialah orang Melayu, penduduk pribumi di negara bertuah ini. Mereka sudah hilang jaguh mereka," katanya.

Bagaimanapun, katanya dalam melindungi orang Melayu dan Bumiputera, caranya bukanlah dengan merampas hak dan harta orang lain.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengingatkan perwakilan Bersatu bahawa kemenangan yang dikecapi pada pilihan raya umum lalu datang bersama tanggungjawab yang berat.

Beliau berkata kerajaan kini bertanggungjawab menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan, walaupun tidak mengetahui dengan mendalam keadaan kerosakan yang menimpa negara ketika berkempen sewaktu pilihan raya umum dulu.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan