Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas pembahas TKGS kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan M'sia

Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, baru-baru ini mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pembahas TKGS kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan M'sia

(Gambar: Zuraida Kamaruddin/Facebook)

BERITAMediacorp: Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, baru-baru ini mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan Malaysia.

Ini selepas Pakatan Harapan mencipta sejarah dengan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Sebelum tewas di tangan Pakatan Harapan (PH), BN sudah mentadbir Malaysia selama 60 tahun.

Namun tidak ramai yang tahu bahawa Cik Zuraida adalah bekas penuntut Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS) di Singapura.

Cik Zuraida yang dilahirkan pada Mac 1958 menuntut di TKGS sehingga 1975.

Anggota Parlimen Ampang sejak 2008 ini mula berjinak-jinak dalam bidang politik setelah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1999 sebagai bendaharinya.

Cik Zuraida kemudian dilantik menjadi Naib Presiden PKR dari 2007 hingga 2010 dan beliau turut memainkan peranan sebagai Ketua Wanita parti tersebut dari 2007 hingga ke hari ini, menurut laporan Bernama.

MENYERLAH SEBAGAI PEMIMPIN SEJAK DI BANGKU SEKOLAH

Menurut laman Facebook TKGS Alumni, Cik Zuraida mula memperlihatkan keupayaannya sebagai seorang pemimpin sejak di bangku sekolah lagi.

Gambar: TKGS Alumni/Facebook

Semasa menuntut di sekolah itu, beliau adalah kapten pasukan bola lisut dan naib kapten Ruby House.

HEBAT BERBAHAS SEMASA DI TKGS

Cik Zuraida turut mempamerkan kehebatan beliau berbahas apabila pasukan TKGS yang dianggotainya memenangi Pertandingan Bahas Sekolah (Bahagian Melayu) anjuran Radio dan Televisyen Singapura (RTS) pada 1975.

Gambar: TKGS Alumni/Facebook

Cik Zuraida yang berusia 60 tahun juga pernah memegang pelbagai peranan pemimpin sepanjang kerjayanya.

Ini termasuk menggalas tugas sebagai Pengarah Bersekutu Pengiklanan Saatchi & Saatchi dan Pengurus Penjualan di Lapangan Kebangsaan Avon.

PERAN CONTOH YANG CEMERLANG

Dalam catatan Faceboknya pada Isnin (21 Mei), TKGS Alumni turut mengucapkan tahniah kepada Cik Zuraida sambil menyifatkan beliau sebagai peran contoh yang sangat baik untuk para pelajar sekolah perempuan itu.

"Tahniah kepada YB Zuraida Kamaruddin ... masyarakat TKGS mendoakan kejayaan anda dan terima kasih kerana menjadi peran contoh yang cemerlang kepada para pelajar kami!! Moribus Modestus."

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan