Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekas pegawai polis didapati bersalah atas pembunuhan George Floyd

Bekas pegawai polis Minneapolis, Derek Chauvin pada Selasa (20 Apr) didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan kematian semasa memberkas George Floyd, satu peristiwa hitam dalam sejarah Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pegawai polis didapati bersalah atas pembunuhan George Floyd

Bekas pegawai polis Derek Chauvin pada 20 Apr 2021 mendengar keputusan mahkamah dalam kes kematian George Floyd (Gambar: Court TV via AP, Pool)

Diterbitkan : 21 Apr 2021 09:50AM Dikemas Kini : 21 Apr 2021 09:58AM

MINNEAPOLIS: Bekas pegawai polis Minneapolis, Derek Chauvin pada Selasa (20 Apr)didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan kematian semasa memberkas George Floyd, satu peristiwa hitam dalam sejarah Amerika Syarikat dan sabitan itu juga adalah satu tamparan hebat terhadap cara undang-undang dikuatkuasakan terhadap rakyat kulit hitam Amerika.

Juri seramai 12 anggota mendapati Chauvin, 45 tahun, bertanggungjawab atas kematian Floyd tahun lalu setelah mengambil kira keterangan daripada 45 saksi selama tiga minggu, termasuk orang ramai yang berada di tempat kejadian, pegawai polis dan pakar perubatan. Juri memulakan perbincangan mereka pada Isnin.

Berdasarkan rakaman video, Chauvin, yang berkulit putih, dilihat melutut di atas tengkuk Floyd, seorang lelaki kulit hitam berusia 46 tahun yang digari, selama lebih sembilan minit pada 25 Mei 2020, setelah Chauvin dan tiga pegawai lain memberkas Floyd, yang dituduh menggunakan wang kertas palsu untuk membeli rokok di sebuah kedai runcit.

Kematian Floyd mencetuskan tunjuk perasaan terhadap perkauman dan kekejaman polis di banyak bandar merata Amerika Syarikat dan juga di seluruh dunia pada tahun lalu.

Mahkamah di Minneapolis dipasang dengan hadangan tinggi dan dikawal oleh Pasukan Pengawal Negara.

Banyak syarikat perniagaan di pusat bandar mengunci tingkap masing-masing sedang mereka bersiap sedia hukuman dijatuhkan.

Walaupun sistem keadilan dan panel juri di Amerika Syarikat sejak sekian lama memberikan kelonggaran dan perlindungan dari segi undang-undang kepada pegawai polis yang menggunakan kekerasan untuk menahan orang awam, para juri bagi kes ini mendapati Chauvin sudah bertindak keterluan dan melampaui batas.

Atas kesalahan itu, Chauvin boleh dihukum penjara selama 12.5 tahun.  

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan