Images
  • haniza
    (Gambar: Bernama)

Bekas ketua wanita PKR sifatkan pemecatan dari parti 'seperti balas dendam'

SHAH ALAM: Cik Haniza Mohamed Talha, yang dilucut keahliannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada mesyuarat parti itu pada Isnin (29 Jun), menyifatkan tindakan itu “seperti balas dendam”.

Cik Haniza yang sebelum ini merupakan Ketua Wanita PKR berkata PKR kini dilihat membalas dendam dengan memecat dan “memburu” ahli parti yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

“PKR semakin tersasar daripada perjuangan yang menegakkan keadilan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Selangor itu kepada Bernama ketika dihubungi melalui WhatsApp bagi mengulas perkara itu.

Cik Haniza juga berkata beliau masih belum menerima apa-apa surat atau notis rasmi daripada parti berhubung perkara itu.

Bernama semalam melaporkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya kelmarin, bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Cik Haniza.

Cik Haniza digantung keahliannya daripada PKR pada 6 April lepas kerana bertemu Encik Mohamed Azmin dan bekas Naib Presiden parti tersebut, Cik Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lepas.

Mengulas mengenai kedudukannya sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Cik Haniza berkata khidmatnya dalam pentadbiran kerajaan negeri tersebut hanya akan tamat selepas beliau mendapat surat arahan daripada menteri besar, Encik Amirudin Shari.

Katanya beliau akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas dan akan terus memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasan yang diwakilinya.

Dengan pemecatan Cik Haniza, PKR di Selangor kini mempunyai 17 kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Ia selepas Encik Mohamed Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Muhammad Hilman Idham (ADUN Gombak Setia) dan Dr Daroyah Alwi (ADUN Sementa) mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi dengan Pakatan Harapan memiliki 41 kerusi iaitu PKR (17), DAP (16) dan Amanah (lapan) manakala Barisan Nasional (lima), PAS (satu), Bersatu (lima) dan Bebas (empat). 

- BERNAMA/NA/na

Top