Images
  • cia
    Seorang bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Jumaat (17 Mei) kerana mengintip untuk China. (Gambar: Saul Loeb/AFP)

Bekas ejen CIA dipenjara 20 tahun

WASHINGTON: Seorang bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Jumaat (17 Mei) kerana mengintip untuk China dalam kes yang disifatkan sebagai ‘trend membimbangkan’ dalam masyarakat perisikan Amerika Syarikat.

Kevin Mallory, 62 tahun, disabitkan menurut Akta Pengintipan kerana menjual maklumat pertahanan sulit Amerika kepada ejen perisikan China pada harga AS$25,000 (S$34,400) ketika lawatan ke Shanghai pada Mac dan April 2017.

“Matlamat anda adalah untuk mendapatkan maklumat dan matlamat saya adalah mendapat bayaran,” katanya kepada ejen China berkenaan dalam mesej pada 5 Mei 2017.

Mallory yang fasih berbahasa Mandarin, pernah berkhidmat dengan tentera Amerika, dan kemudian sebagai ejen khas bagi perkhidmatan keselamatan Jabatan Negara, sebelum menjadi pegawai kes sulit bagi CIA.

Dia ditahan bersama beberapa lagi pegawai Amerika dengan akses kepada keselamatan tahap tertinggi dan didakwa kerana berhubung dengan perisikan China.

Bekas pegawai CIA, Ron Hansen, berdepan 15 tahun penjara selepas mengaku bersalah Mac lalu kepada dakwaan cuba menjual maklumat sulit kepada China.

Pada April, bekas diplomat Candace Marie Clairborne mengaku bersalah berbohong kepada penyiasat mengenai wang yang diterimanya daripada ejen perisikan Cina sebagai ganti bagi dokumen-dokumen Amerika.

Dalam kes paling menonjol, pada 1 Mei, bekas pegawai CIA, Jerry Chun Shing Lee, mengaku bersalah mengintip untuk China. Lee, 54 tahun berdepan hukuman penjara seumur hidup.

- AFP/SU/na

Top