Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bekalan ubat COVID-19 di M'sia tidak terputus

Bekalan ubat-ubatan berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh Malaysia tidak terputus sepenuhnya namun, diterima secara berperingkat daripada para pembekal selepas permintaan melonjak dalam waktu singkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan ubat COVID-19 di M'sia tidak terputus

Gambar hiasan pil ubat (Gambar: REUTERS/Lucas Jackson)

Diterbitkan : 29 Aug 2021 04:00PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 04:03PM

KUALA LUMPUR: Bekalan ubat-ubatan berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh Malaysia tidak terputus sepenuhnya namun, diterima secara berperingkat daripada para pembekal selepas permintaan melonjak dalam waktu singkat.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

Menurutnya lagi, sejak Mei lalu permintaan bagi ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan COVID-19 meningkat secara mendadak menyusuli lonjakan kes bukan sahaja di Malaysia namun di seluruh dunia.

Menurutnya, permintaan dalam negara meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam.

“KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini (29 Ogos).

Selain itu, katanya, para pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

“Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

Bagaimanapun, katanya, KKM mengambil beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pihak pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan bagi penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif di bawah kontrak pusat.

Pada Sabtu (28 Ogos), sebuah portal berita melaporkan banyak hospital kerajaan berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk yang diperlukan untuk merawat kes COVID-19 seperti Clexane, sejenis ubat antigumpal yang penting dalam rawatan koronavirus itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan