Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beijing tutup Raffles City, bangunan perumahan dek penularan terbaru COVID-19

Pihak berkuasa Beijing menutup sebuah pusat beli-belah dan mengepung beberapa kawasan kediaman ekoran penularan COVID-19, sedang penularan terbaru merebak ke bahagian tengah ibu kota China itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Beijing tutup Raffles City, bangunan perumahan dek penularan terbaru COVID-19

Pusat beli-belah Raffles City di Beijing, China (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 09:24PM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 09:32PM

BEIJING: Pihak berkuasa Beijing menutup sebuah pusat beli-belah dan mengepung beberapa kawasan kediaman ekoran penularan COVID-19, sedang penularan terbaru merebak ke bahagian tengah ibu kota China itu.

China rata-rata berjaya membendung penularan koronavirus yang meluas dengan melaksanakan perintah berkurung, ujian besar-besaran dan sekatan perjalanan yang ketat, namun pihak berkuasa masih menguatkuasakan langkah berjaga-jaga yang tinggi menyusuli lonjakan kes di merata negara yang dikaitkan dengan perjalanan domestik pada bulan lalu.

Enam kes baru dikesan di bahagian tengah Beijing iaitu Chaoyang dan Haidian pada pagi Khamis (11 Nov), lapor media tempatan.

Kesemua kes merupakan kontak rapat individu yang terjangkit di timur laut wilayah Jilin baru-baru ini.

Pusat beli-belah Raffles City di Dongcheng - juga di kawasan bahagian tengah ibu kota itu - ditutup pada petang Rabu selepas kontak rapat seorang pesakit COVID-19 didapati mengunjungi pusat beli-belah itu, lapor Beijing Youth Daily.

Pintu keluar masuk ditutup dan semua kakitangan dan pelanggan tidak dibenarkan keluar sehingga mereka selesai diuji.

Video yang dikongsi di platform media sosial Weibo menunjukkan ramai pelanggan yang memakai pelitup berbaris panjang untuk diuji di dalam pusat beli-belah itu.

Pusat beli-belah itu masih ditutup pada Khamis.

Lonjakan terbaru berlaku sedang mesyuarat peringkat tinggi pemimpin kanan Parti Komunis berlangsung di Beijing.

Para pegawai kesihatan Beijing berkata semasa satu taklimat bahawa lebih 280 kontak rapat sudah dikenal pasti, dengan hampir 12,000 orang disaring bagi jangkitan virus itu di kedua-dua daerah Chaoyang dan Haidian. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan