Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beg mini dari sisa kulit buah ciptaan pelajar M'sia diiktiraf dunia

Sekali pandang, tiada siapa menyangka beg mini yang digunakan sebagai pembungkus set produk penjagaan kulit wajah ciptaan seorang pelajar universiti sebenarnya diperbuat daripada sampah kulit limau.

Anggaran Waktu Membaca:
Beg mini dari sisa kulit buah ciptaan pelajar M'sia diiktiraf dunia

Menlin Ng Aniathul Fitria Ismail Ng Abdullah menggunakan sekitar 30 kulit limau purut bagi menghasilkan dua helai 'bio-leather'. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 07:08PM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 07:11PM

KUALA LUMPUR: Sekali pandang, tiada siapa menyangka beg mini yang digunakan sebagai pembungkus set produk penjagaan kulit wajah ciptaan seorang pelajar universiti sebenarnya diperbuat daripada sampah kulit limau.

Produk bahan "bio leather" hasil ciptaan Menlin Ng Aniathul Fitria Ismail Ng Abdullah itu menggunakan sepenuhnya kulit buah-buahan sitrus terutama kulit limau nipis dan bahan semula jadi lain, yang bukan sahaja bersifat lebih mesra alam malah mampu menjadi bahan pembungkusan pelbagai produk menggantikan plastik. 

Lebih menarik lagi, ciptaan pelajar Universiti Sains Malaysia itu masih berada di peringkat kajian awal, tetapi telah mengharumkan nama negara apabila memenangi tempat kedua dalam pertandingan reka bentuk antarabangsa James Dyson Awards 2021 baru-baru ini. 

DAPAT INSPIRASI LIHAT LAMBAKAN SAMPAH KULIT DI KAFE

Gadis 24 tahun itu mendapat ilham mencipta bahan lestari berkenaan apabila melihat lambakan sampah kulit buah-buahan di kafe dan restoran semasa menyiapkan projek semester sekitar tahun lalu.

"Saya percaya semua sisa makanan boleh diproses menjadi bahan atau barangan berguna sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Saya mahu menukarkan bahan yang dilihat tidak bernilai ini menjadi barangan berguna dan berharga.

"Selain membantu mengurangkan penjanaan sampah, bahan kulit bio yang menggunakan bahan semula jadi sepenuhnya ini juga melibatkan kos lebih rendah,” katanya yang mengambil masa 10 bulan bagi menyiapkan projek tersebut. 

Menerusi ujian yang dijalankan, Menlin Ng menggunakan kira-kira 30 kulit limau purut bagi menghasilkan dua helai material berukuran 20 sentimeter panjang dan lebar.

"Saya mendapatkan stok kulit limau dari beberapa restoran. Antara proses terlibat termasuk pengekstrakan, pengasingan kulit dan biji buah, rebus bagi mengelakkan kulat dan mencampurkan dengan bahan pelekat semula jadi sebelum dikeringkan sehingga menjadi produk akhir,” katanya. 

Bagi membuktikan bahan itu praktikal, beliau yang berasal dari Sabah turut mereka bentuk sampel pembungkusan beg mini produk penjagaan kulit dinamakan ‘Citra’  yang lebih mudah dibawa, ringkas dan elegan. 

Beg mini yang dihasilkan dari kulit buah ini dinamakan Citra. (Gambar: BERNAMA)

HARAP IDEA DAPAT KEMBANG

Ditanya tentang cabaran yang dihadapi, Menlin Ng berkata beliau perlu berdepan dengan kekangan menjalankan ujian di makmal susuli sekatan pergerakan dan penularan pandemik COVID-19. 

"Dalam tempoh itu, pertemuan bersemuka dengan penyelia tidak dapat dilakukan. Terkurung di asrama kampus juga membuat saya beberapa kali hilang motivasi," katanya. 

Pelajar jurusan Reka Bentuk Produk itu juga berharap inovasi yang masih di peringkat penyelidikan awal itu dapat dikembangkan dan dimanfaatkan di peringkat profesional sekali gus membuka jalan kepada penghasilan bahan mesra alam. 

"Saya perlu membuat lebih banyak kajian dan eksperimen bagi mendapatkan bahan terbaik dalam meningkatkan kualiti material ini pada masa akan datang.

"Malaysia adalah antara pengeksport buah dan sayur terbesar. Jadi secara tidak langsung, menyumbang kepada penghasilan sampah yang boleh dijadikan sumber kepada penghasilan produk pembungkusan daripada material semula jadi," katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan