Images
  • istana negara msia
    Istana Negara Malaysia. (Gambar: BERNAMA) 

Beberapa lagi pemimpin parti menghadap Agong bagi mesyuarat

KUALA LUMPUR: Beberapa lagi pemimpin parti politik Malaysia menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini (10 Jun).

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, merupakan pemimpin pertama yang tiba untuk tujuan itu pada 10.20 pagi sebelum dilihat keluar meninggalkan Istana Negara pada 11.35 pagi.

Beliau disusuli Presiden MCA Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan. Beliau tiba pada 11.55 pagi dan dilihat keluar pada 12.50 tengah hari.

Difahamkan pada sebelah petang, giliran bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada 2.30 petang, diikuti oleh Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie Apdal pada 4.00 petang.

Pemimpin parti-parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat bermula semalam. Bagi pemimpin parti-parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Majlis menghadap bermula dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Secara kebiasaannya, beliau selaku ketua kerajaan akan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada setiap Rabu bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

Selepas Encik Muhyiddin, tiba giliran Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR. Giliran beliau diikuti oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan disusuli Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, mengakhiri sesi semalam.

Terdapat banyak spekulasi bahawa landskap politik akan menjadi salah satu agenda mesyuarat tetapi para ahli politik mengatakan kepada media bahawa perbincangan berkisar mengenai COVID-19 dan persidangan parlimen yang kini ditangguhkan kerana keadaan darurat.

Encik Anwar berkata beliau merayu kepada Agong supaya tidak melanjutkan keadaan darurat manakala Encik Mohamad mengatakan beliai meminta agar parlimen bersidang semula.

Pembentukan sebuah kerajaan baru "satu perkara yang tidak bangkit buat masa sekarang", Encik Anwar memberitahu para wartawan di luar Istana pada Rabu. 

- BERNAMA/CNA/FZ/fz

Top