Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beberapa korban jiwa akibat gempa kuat, tsunami di bandar Indonesia

Beberapa kematian dilaporkan setelah gelombang tsunami membadai bandar Palu di pulau Sulawesi di Indonesia pada Jumaat (28 Sep), selepas gempa bumi yang kuat turut memusnahkan bangunan-bangunan dan menyebabkan bekalan elektrik terputus, menurut para pegawai.

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa korban jiwa akibat gempa kuat, tsunami di bandar Indonesia

Seorang mangsa gempa bumi menerima rawatan di luar sebuah hospital di Donggala di pulau Sulawesi, Indonesia. (Antara Foto/HO/BNPB-Sutopo Purwo N/menerusi Reuters)

Diterbitkan : 29 Sep 2018 08:45AM Dikemas Kini : 29 Sep 2018 08:50AM

JAKARTA: Beberapa kematian dilaporkan setelah gelombang tsunami membadai bandar Palu di pulau Sulawesi di Indonesia pada Jumaat (28 Sep), selepas gempa bumi yang kuat turut memusnahkan bangunan-bangunan dan menyebabkan bekalan elektrik terputus, menurut para pegawai.

Angka korban akibat bencana alam itu bagaimanapun masih tidak jelas buat masa ini.

Gelombang tsunami setinggi dua meter melanda bandar Palu dan kawasan perikanan Donggala yang terletak paling dekat dengan pusat gempa sekitar 27 kilometer, kata para pegawai.

"Gempa bumi dan tsunami itu menyebabkan beberapa kecederaan dan kematian... manakala laporan-laporan awal menunjukkan bahawa para mangsa maut akibat ditimbus bangunan-bangunan yang runtuh," kata jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, kepada para wartawan.

"Angka korban akibat gempa dan tsunami serta kesan bencana itu masih lagi dikira."

Encik Sutopo berkata, bencana itu menyebabkan bekalan tenaga dan talian hubungan di Donggala dan daerah-daerah di sekitarnya terputus. Kementerian Perhubungan Indonesia kini sedang berusaha untuk memperbaiki 276 stesen elektrik.

Menurut para pegawai, gegaran susulan serta gangguan pada sistem hubungan dan bekalan tenaga yang terputus menyukarkan lagi operasi mencari dan menyelamat.

Lebih 600,000 penduduk tinggal di Palu dan Donggala.

"Tsunami setinggi 1.5 hingga dua meter itu sudah surut," kata Dwikorita Karnawati, ketua Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, BKMG, kepada Reuters.

"Saya dimaklumkan keadaan huru-hara, ramai lari bertempiaran di jalan-jalan raya dan bangunan-bangunan runtuh."

Ketua agensi mencari dan menyelamat nasional, Muhammad Syaugi berkata sebuah kapal besar dan beberapa helikopter akan dihantar untuk membantu operasi. Encik Syaugi juga menambah bahawa beliau masih belum dapat menghubungi pasukannya di Palu.

Pasukan tentera dan polis juga masing-masing akan mengerahkan para pegawainya serta peralatan bagi menyokong operasi kecemasan itu, menurut para pegawai. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan