Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beberapa kawasan di Sabah, Negeri Sembilan dan Pahang dikenakan PKPD mulai Isnin

Sebanyak tujuh kawasan di Sabah serta masing-masing satu kawasan di Negeri Sembilan dan Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin (14 Jun) hingga 27 Jun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa kawasan di Sabah, Negeri Sembilan dan Pahang dikenakan PKPD mulai Isnin

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Jun 2021 10:32PM Dikemas Kini : 12 Jun 2021 10:34PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh kawasan di Sabah serta masing-masing satu kawasan di Negeri Sembilan dan Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin (14 Jun) hingga 27 Jun ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kawasan di Sabah melibatkan Kampung Indah di Nabawan; Kampung Manggis, Kuala Penyu; Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah, Tawau; Kampung Baru (SFI), Sipitang; serta Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan, di Kota Belud.

Turut dikuatkuasakan PKPD di Kampung Lakai dekat Jelebu, Negeri Sembilan; dan kawasan Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang melibatkan Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru Kampung Raja.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan, dengan menghalang pergerakan masuk individu luar ke dalam kawasan tersebut, selain menyekat penularan wabak ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (12 Jun).

Dalam pada itu Ismail Sabri memaklumkan, PKPD di Kampung Baru Melayu, Bentong dan FELDA Jengka 24, Jerantut di Pahang, ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

PKPD di FELDA Sahabat 40 (Kg Kembara Sakti); Tungku dekat Lahad Datu; dan Kampung Padawan, Papar di Sabah; serta tiga kawasan perumahan di mukim Juasseh dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan, masing-masing ditamatkan esok, mengikut jadual.

Sementara itu, PKPD di Ladang Chin Teck, Muadzam Shah dekat Rompin, Pahang juga ditamatkan esok namun lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 18 Jun, selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kluster di situ terkawal, kes menurun selain semua kes positif telah menerima rawatan.

Beliau berkata, mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam, seramai 887 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, dengan 849 daripadanya dikompaun manakala 38 lagi direman.

Sumber : Bernama/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan