Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Beberapa kawasan di JB, Kota Tinggi kembali banjir

Hujan lebat berterusan sejak malam tadi (9 Jan) menyebabkan beberapa kawasan di daerah Johor Baru dan Kota Tinggi kembali dinaiki air, seminggu selepas banjir melanda pada Sabtu (2 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa kawasan di JB, Kota Tinggi kembali banjir

Banjir di Johor. (Gambar Hiasan: Bernama)

Diterbitkan : 10 Jan 2021 07:10PM Dikemas Kini : 10 Jan 2021 07:12PM

JOHOR BARU: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi (9 Jan) menyebabkan beberapa kawasan di daerah Johor Baru dan Kota Tinggi kembali dinaiki air, seminggu selepas banjir melanda pada Sabtu (2 Jan).

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan di sana termasuk Kampung Laut Batu 10 dan Kampung Paya, yang teruk dilanda banjir minggu lalu, mendapati semua penduduk kampung itu sudah berpindah dari kediaman masing-masing sama ada ke rumah keluarga ataupun ke pusat pemindahan banjir.

Encik Malik Yahya, penduduk di Kampung Paya, Bukit Mutiara di sana, berkata dia masih mengemas rumahnya yang teruk dilanda banjir ketika air didapati mulai naik pagi tadi (10 Jan).

"Air mulai naik sejak 9.00 pagi ekoran hujan lebat berterusan sejak malam tadi. Bila nampak air mulai naik, saya selamatkan dokumen penting dahulu," kata bapa anak tiga itu kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Paya hari ini.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Khadijah yang berusia 30an tahun pula berkata: “Kami tengah berkemas-kemas, basuh baju sebab banjir, tiba-tiba jadi balik. Sedihlah tapi nak buat macam mana."

Setakat 4.00 petang ini, mangsa banjir di negeri itu kembali meningkat kepada 1,251 orang daripada 382 keluarga berbanding 479 orang daripada 128 keluarga yang direkodkan pada 8.00 pagi tadi dengan daerah yang terjejas kini ialah Kota Tinggi, Johor Bahru, Mersing dan Segamat.

Sementara itu di Kota Tinggi, rata-rata penduduk dan peniaga di pusat bandar itu mula mengemas semula dan meletakkan barangan berharga mereka di tempat selamat kerana bimbang gelombang kedua banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.

Tinjauan Bernama di Jambatan Kota Tinggi mendapati kelajuan air sungai sangat deras dan berada di paras yang tinggi dengan hujan lebat, dan pihak bomba serta lain-lain agensi juga dilihat melakukan rondaan di sekitar jambatan itu serta taman-taman perumahan dan kampung berdekatan.

Penduduk di Taman Kemang, Cik Afizah Yunos, 50 tahun, berkata semua barang yang masih selamat seperti perkakas elektrik diletakkan semula di tingkat dua rumahnya itu.

“Kami hanya mampu berdoa jangan ada gelombang kedua kerana banjir kali ini memang tidak dapat dijangka, air naik terlalu cepat,” katanya yang baru tiga hari kembali ke rumah selepas banjir Sabtu lalu.

Peniaga kedai makan, Encik Radin Haslinah Radin Othman, 53 tahun, yang baru berniaga semula hari ini selepas kedainya ditenggelami banjir Sabtu lalu, berkata kali ini dia melakukan persediaan awal dan akan terus beredar membawa bahan mentah dan barangan berharga sekiranya air mula memasuki kedai.

“Kalau hujan lebat dan berterusan begini saya akan terus bawa balik barang-barang di kedai sebab sebelum ini saya tidak sempat selamatkan barang terutama bahan mentah yang baru dibeli,” katanya.

Seorang penduduk di Kampung Laut, Batu 10, Skudai, Cik Noran Idris, 69 tahun, pula berkata sampan yang biasanya digunakan untuk memancing, kini menjadi ‘pengangkutan’ alternatif untuk memindahkan semua barangannya apabila kediamannya sekali lagi terjejas banjir.

Beliau berkata perahu itu yang selalunya digunakan untuk memancing ikan dan udang di Sungai Skudai di belakang rumahnya, merupakan penyelamat apabila paras air banjir naik dengan cepatnya awal pagi tadi.

“Sepatutnya hari ini dah boleh masuk balik, saya pun tengah kemas rumah, tak sempat tengok barangan elektrik yang disimpan di stor,” katanya kepada Bernama ketika ditemui berhampiran rumahnya di kampung itu.  

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan