Images
  • baby generic
    (Gambar hiasan: Janko Ferlič/Unsplash)

Bayi terputus kepala ketika dilahirkan

JAISALMER: Seorang jururawat lelaki di sebuah pusat kesihatan di India dipercayai menyebabkan seorang bayi "terputus dua" kerana menarik keluar begitu kuat bayi tersebut semasa proses kelahiran.

Lebih menyedihkan lagi, selepas insiden itu berlaku, jururawat tersebut dan rakannya sekadar menyimpan bahagian bawah janin di rumah mayat lalu menyuruh keluarga pesakit mengejarkan wanita itu ke sebuah hospital.

Seorang pakar sakit puan di Hospital Jawahar, Dr Ravindra Sankhla memberitahu The Hindustan Times bahawa kakitangan di pusat perubatan itu memaklumkan keluarga pesakit bahawa proses kelahiran sudah selesai dijalankan tetapi uri wanita tersebut masih dalam rahimnya. 

Ketika Dr Ravindra cuba mengeluarkan uri wanita tersebut, beliau terkejut apabila menyedari bahawa kepala bayi masih ada dalam rahim pesakitnya.

Pembedahan kemudian dijalankan ke atas wanita berkenaan. Pesakit yang dikenali sebagai Cik Dikhsha Kanwar kini sedang bertarung nyawa di hospital, lapor The Hindustan Times.

Aduan polis sudah difailkan terhadap dua kakitangan pusat kesihatan terbabit. Namun, mereka belum lagi ditangkap.

Doktor yang ditugaskan di pusat kesihatan masyarakat itu berkata bahawa insiden berlaku ketika beliau tidak bertugas. Jururawat di pusat kesihatan tersebut juga tidak memaklumkannya tentang pesakit yang ingin melahirkan lalu menjalankan proses kelahiran sendiri.

Suami mangsa mendakwa bahawa dua jururawat yang bertugas di pusat kesihatan itu dalam keadaan mabuk semasa menguruskan isterinya.

"Jururawat terbabit sudah menyerahkan bahagian bawah bayi tersebut kepada kami apabila kami mejalankan soal siasat," kata seorang pegawai penyiasat tempatan kepada The Hindustan Times. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top