Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi pertama lahir menerusi pemindahan rahim penderma sudah meninggal dunia

Seorang wanita di Brazil mencatat sejarah setelah selamat melahirkan bayi perempuan, menerusi pemindahan rahim daripada penderma yang sudah meninggal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi pertama lahir menerusi pemindahan rahim penderma sudah meninggal dunia

Seorang bayi dilahirkan sihat selepas ibunya menerima rahim penderma yang meninggal dunia. (Gambar: Dr Wellington Andraus/AP)

Diterbitkan : 05 Dec 2018 11:26AM Dikemas Kini : 05 Dec 2018 11:31AM

LONDON: Anda mungkin pernah mendengar tentang kes pemindahan buah pinggang atau hati. Organ yang dalam keadaan baik diambil dari orang yang sihat atau baru meninggal dunia dan ia dipindahkan ke pesakit. Kini, seorang wanita di Brazil mencatat sejarah setelah selamat melahirkan bayi perempuan, menerusi pemindahan rahim daripada penderma yang sudah meninggal dunia.

Kes pertama seumpamanya itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet. Prosedur itu melibatkan urat dari rahim si penderma diikat dengan urat si penerima, serta dikaitkan dengan arteri, ligamen dan terusan faraj.

Kejayaan itu dicapai selepas 10 kes pemindahan rahim sebelum ini daripada penderma yang sudah meninggal dunia yang dilakukan di Amerika Syarikat, Republik Czech dan Turki, gagal.

Bayi perempuan dalam kes ini dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean ketika usia kandungan pada minggu ke-35 dan tiga hari, dengan berat badan 2,550 gram.

Dani Ejzenberg, seorang doktor di hospital Universiti Sao Paulo di Brazil yang mengetuai kajian itu, berkata teknik pembedahan pemindahan tersebut boleh dilakukan dan dapat membantu ramai wanita yang tidak boleh melahirkan anak disebabkan masalah kesuburan rahim.

Menurut Dr Ejzenberg, pemindahan rahim itu dijalankan pada September 2016 dan penerimanya adalah wanita berusia 32 tahun.

Buat masa ini, prosedur menerima pemindahan rahim adalah organ itu harus daripada seorang anggota keluarga yang secara sukarela ingin mendermakannya.

Bagaimanapun, Dr Ejzenberg berkata bahawa perbandingan tentang hasil dan kesan derma rahim dari penderma hidup dan yang sudah mati masih belum dijalankan. Prosedur pemindahan itu juga, kata beliau, masih boleh diperhalusi dan dipertingkatkan.

Bayi pertama yang dilahirkan menyusuli pemindahan rahim daripada penderma masih hidup berlaku pada tahun 2013 di Sweden. Sejak itu, ahli saintis melaporkan 39 prosedur seumpama itu sudah dijalankan dengan 11 kelahiran bayi.

Para pakar menganggarkan bahawa masalah kesuburan menjejas sehingga 15 peratus pasangan di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, sekitar seorang dalam setiap 500 wanita mengalami masalah rahim.

Sebelum ini, satu-satunya pilihan yang ada untuk wanita dengan masalah kesuburan rahim adalah dengan mengambil anak angkat atau menggunakan khidmat ibu tumpang.

Dalam kes wanita di Brazil itu, beliau dilahirkan tanpa rahim disebabkan oleh sindrom yang dikenali sebagai Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser. Pendermanya pula berusia 45 tahun dan meninggal dunia akibat serangan angin ahmar.  

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan