Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi perempuan ditinggalkan di masjid

Jemaah Masjid Lama Ara Kuda, yang sedang bersiap untuk menunaikan solat Zuhur terkejut dengan penemuan bayi perempuan yang diletakkan di dalam sebuah kotak dan ditinggalkan di tepi kaki lima masjid berkenaan tengah hari tadi (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi perempuan ditinggalkan di masjid

(Gambar hiasan: Luma Pimental/Unsplash)

Diterbitkan : 23 Apr 2019 08:32PM Dikemas Kini : 23 Apr 2019 08:35PM

TASEK GELUGOR: Jemaah Masjid Lama Ara Kuda, yang sedang bersiap untuk menunaikan solat Zuhur terkejut dengan penemuan bayi perempuan yang diletakkan di dalam sebuah kotak dan ditinggalkan di tepi kaki lima masjid berkenaan tengah hari tadi (23 Apr).

Bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan itu ditemui kira-kira jam 1.15 tengah hari oleh seorang kanak-kanak lelaki yang hadir menunaikan solat di masjid berkenaan sebelum memaklumkan kepada jemaah lain.

Saksi kejadian, Encik Ahmad Abdullah, 59 tahun, berkata beliau sedang bersiap-siap untuk solat sebelum kanak-kanak itu memaklumkan kepadanya ada sebuah kotak dan di dalamnya terdapat seorang bayi sebelum dia bersama jemaah lain keluar untuk melihat.

"Kotak itu berada di kaki lima masjid dan semasa saya datang kira-kira jam 1.00 tengah hari memang tak nampak sebarang kotak di kaki lima bahagian hadapan masjid berkenaan dan kami percaya bayi tersebut baru sahaja ditinggalkan di situ. Kami jemaah terkejut dengan penemuan bayi itu," katanya kepada pemberita di hari ini (23 Apr).

Katanya ketika ditemui bayi itu sedang tidur dan jemaah terus membawanya masuk ke dalam masjid sebelum menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan berkenaan.

Encik Ahmad berkata bayi itu dalam keadaan sihat dan tali pusatnya dipercayai sudah dipotong sebelum badannya dibalut dengan kain batik dan diletakkan di dalam kotak berkenaan.

Katanya kejadian penemuan bayi itu merupakan kali pertama berlaku di masjid berkenaan sepanjang beliau tinggal di kawasan itu sejak 30 tahun lepas dan berharap pihak yang tidak bertanggungjawab dapat ditahan secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan penemuan bayi itu dan katanya bayi berkenaan dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan bayi itu ditinggalkan dan polis kini sedang giat mengesan pihak yang meletakkan bayi berkenaan di situ.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan siapa yang meletak bayi itu di situ dan kami akan cuba mendapatkan rakaman CCTV di kawasan berhampiran masjid bagi membantu siasatan," katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan