Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi dalam kereta sorong 'lebih terdedah kepada pencemaran udara'

Menurut para penyelidik, tahap pencemaran dalam kereta sorong lebih rendah di kawasan yang kurang kenderaan atau di mana pencemaran disebarkan dengan cara lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi dalam kereta sorong 'lebih terdedah kepada pencemaran udara'

Gambar hiasan. (Gambar: Louisa Gouliamaki/AFP)

Diterbitkan : 17 Aug 2018 11:45PM Dikemas Kini : 17 Aug 2018 11:55PM

LONDON: Bayi dan kanak-kanak kecil di dalam kereta sorong lebih terdedah kepada pencemaran udara sehingga 60 peratus lebih tinggi berbanding orang dewasa. Ini menurut satu kajian.

Menurut para pakar, bayi lebih terdedah kepada udara kotor di dalam kereta sorong bayi kerana kedudukan mereka yang lebih dekat dengan paip ekzos.

Mereka juga lebih berisiko mengalami masalah kesihatan kerana badan mereka yang masih kecil dan membesar.

Menurut para penulis kajian itu, antara cara mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara adalah dengan mengelakkan jalan raya yang sibuk dan menggunakan kereta sorong dengan penutup.

Para pengkaji di Pusat Global untuk Kajian Udara Bersih, di Universiti Surrey, menyemak semula bukti yang ada, dan mendapati bahawa pernafasan bayi dalam kereta sorong berada pada ketinggian antara 0.55 meter dan 0.85 meter (2 kaki) dari lantai.

Paras pencemaran pula berada di peringkat lebih tinggi dalam jarak 1 meter dari lantai, lantas membuat bayi-bayi tersebut terdedah kepada lebih 60 peratus pencemaran udara berbanding orang dewasa.

Pencemaran di tepi jalan mengandungi tahap logam toksik yang tinggi, yang berpotensi merosakkan perkembangan otak bayi, menurut para penyelidik.

Profesor Prashant Kumar, salah seorang penulis kajian itu, berkata: "Apabila anda memikirkan betapa lemahnya bayi-bayi kerana tisu mereka, sistem imun dan perkembangan otak pada peringkat awal kehidupan mereka, ia sangat membimbangkan bahawa mereka terdedah kepada tahap pencemaran yang berbahaya ini."

Menurut para penyelidik, tahap pencemaran dalam kereta sorong lebih rendah di kawasan yang kurang kenderaan atau di mana pencemaran disebarkan dengan cara lain.

Kajian itu bagaimanapun tidak meneliti sama ada terdapat jenis kereta sorong yang lebih baik atau lebih terdedah kepada pencemaran.

Para pengkaji menggesa supaya lebih banyak usaha dilakukan untuk mengurangkan pencemaran udara atau mengurangkan kesannya, seperti menurunkan pengeluaran asap kenderaan dan menggalak lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam.

Dalam pada itu, menurut Profesor Kumar, ibu bapa dapat mengurangkan risiko terhadap bayi dan anak kecil mereka dengan menggunakan penutup pada kereta sorong dan menjauhi kawasan-kawasan seperti jalan raya sibuk, tempat lampu isyarat dan perhentian bas.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan