Bayi berusia 8 hari maut diserang monyet
Polis di selatan India menjalankan siasatan ke atas kematian bayi yang baru berusia lapan hari selepas beberapa ekor monyet didakwa membuang bayi itu dari bahagian bumbung rumahnya.
CHENNAI: Polis di selatan India menjalankan siasatan ke atas kematian bayi yang baru berusia lapan hari selepas beberapa ekor monyet didakwa membuang bayi itu dari bahagian bumbung rumahnya.
Polis memberitahu AFP pada Ahad (14 Feb) bahawa bayi perempuan kembar itu sedang tidur di rumah mereka di Tamil Nadu apabila mereka diserang oleh monyet-monyet itu pada Sabtu.
Ibu bayi itu, Cik Bhuvaneshwari, terdengar kedua-dua anaknya itu menangis sebelum melihat mereka dibawa dari bilik tidur dan kemudian mula menjerit, kata seorang pegawai polis.
Beliau bergegas ke luar rumah dan melihat beberapa ekor monyet dan kedua-dua bayinya di atas bumbung.
"Mendengar jeritannya, jiran-jirannya berkumpul untuk membantu dan berusaha menyelamatkan kedua-dua bayi itu," kata pegawai polis tersebut.
Sedang orang ramai berusaha untuk menyelamatkan kedua-dua bayi berkenaan, monyet-monyet itu mencampakkan seorang bayi di atas bumbung dan menghumbankan seorang lagi ke udara.
Bayi yang dicampakkan ke atas bumbung itu dipercayai dalam keadaan selamat.
Bayi yang jatuh ke dalam longkang selepas dihumbankan ke udara, meninggal dunia.
Haiwan seperti monyet dipercayai kerap menyerang manusia dan mencuri makanan, bagaimanapun kes menyambar kanak-kanak jarang berlaku.
Dua tahun lalu, beberapa ekor monyet menyambar bayi yang sedang tidur di dalam kelambu di rumahnya di wilayah Odisha. Bayi itu kemudian ditemui sudah meninggal dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.