Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bayi antara 5 terbunuh apabila kereta rempuh pembeli-belah di Jerman

Seorang bayi merupakan antara lima yang terbunuh apabila sebuah kereta merempuh kawasan beli-belah di bandar Trier terletak di bahagian barat daya Jerman pada Selasa (1 Dis), kata polis, selepas menangkap pemandunya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bayi antara 5 terbunuh apabila kereta rempuh pembeli-belah di Jerman

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Dec 2020 08:25AM Dikemas Kini : 02 Dec 2020 08:27AM

TRIER, Jerman: Seorang bayi merupakan antara lima yang terbunuh apabila sebuah kereta merempuh kawasan beli-belah di bandar Trier terletak di bahagian barat daya Jerman pada Selasa (1 Dis), kata polis, selepas menangkap pemandunya.

Pendakwa raya Peter Fritzen berkata pemandu itu, seorang lelaki asal Trier berusia 51 tahun, kelihatan mengalami "masalah psikiatri" dan berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian, yang mana 14 orang lain turut cedera.

Polis menyatakan bahawa mereka "tidak mengesan tanda-tanda motif politik" selepas menyoal siasat suspek itu, dan Encik Fritzen berkata pihak pendakwa sedang mempertimbangkan untuk memohon bagi suspek diletakkan di bawah jagaan psikiatri.

Di sidang media yang sama, datuk bandar Trier Wolfram Leibe berkata antara mereka yang terbunuh apabila lelaki itu merempuh kereta SUVnya ke arah beberapa pengunjung, ialah bayi berusia sembilan bulan dan wanita berusia 73 tahun.

"Saya rasa ini adalah hari paling menyedihkan di Trier sejak Perang Dunia Kedua," katanya.

Turut terbunuh dalam kejadian itu ialah seorang wanita berusia 25 tahun dan seorang lelaki berusia 45 tahun. Polis belum lagi mendedahkan butiran mengenai mangsa kelima.

Trier terletak di negeri Rhineland-Palatinate. Perdana Menterinya, Malu Dreyer meluahkan perasaan terkejut bahawa seorang bayi merupakan antara mereka yang terbunuh oleh "perbuatan tidak siuman" pemandu itu dan mengutuskan takziah kepada keluarga-keluarga terjejas.

Ibu bayi itu masih dirawat di hospital bagi kecederaan yang dialami dalam kejadian rempuhan itu.

Para saksi sebelum ini berkata mereka melihat orang ramai tercampak ke udara ketika kereta itu merempuh mereka.

'TRAUMA'

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 12.50 GMT dan ia berakhir empat minit selepas panggilan kecemasan pertama dibuat, dengan pegawai polis berjaya memintas pemandu berkenaan selepas dia membelok ke jalan beli-belah utama.

Polis menyatakan lelaki itu merempuh jalan sejauh antara 600 meter dengan 1 kilometer menyebabkan beberapa kerosakan.

Para pegawai mengepung kawasan itu dan meminta orang ramai beredar dari kawasan pusat bandar itu yang mempunyai seramai 110,000 penduduk.

Rakaman video telefon bimbit seorang saksi menunjukkan pemandu berkenaan digari dan tertiarap di atas jalan selepas ditahan oleh beberapa pegawai bersebelahan kenderaan yang rosak itu.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan