Images
  • baby generic
    (Gambar hiasan: Janko Ferlič/Unsplash)

Bayi 7 bulan meninggal dunia selepas dihantar ke rumah pengasuh

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala dipercayai ketika dijaga pengasuh di sebuah rumah di Kampung Setia Jaya, Setapak.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari pada 8 Jan, ibu mangsa yang ke rumah pengasuh untuk melihat anaknya selepas menerima panggilan, mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri dengan tubuhnya kelihatan pucat serta terdapat kesan lebam pada bawah mata kanan selain hidung berdarah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Noor Azmi Yusoff berkata wanita itu kemudian menghubungi suaminya sebelum membawa bayi berkenaan ke klinik swasta di Taman Melati.

“Bagaimanapun, doktor mengarahkan mereka supaya membawa bayi itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pihak HKL,” kata Supt Noor Azmi.

Beliau berkata bapa mangsa mendakwa bayi itu berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuh pagi itu.

“Bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian adalah akibat kecederaan dan pendarahan dalaman pada bahagian kepala,” kata Supt Noor Azmi.

Polis masih menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. 

- BERNAMA/AQ/aq

Top