Images
  • child parent
    (Gambar fail: Reuters)

Bayi 2 tahun maut ditinggalkan ibu lebih dua jam dalam kereta

LAHAD DATU: Seorang bayi perempuan berusia dua tahun maut selepas lebih dua jam ditinggalkan kepanasan di dalam kereta oleh ibunya di tepi jalan rumahnya di Taman Aman 1 di Lahad Datu, Sabah, Rabu minggu lalu (5 Jun).

Menurut laporan Bernama, anak bongsu daripada empat beradik itu dijumpai ibunya berusia 31 tahun dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang kereta, selain mulut berbuih dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata mangsa yang kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu disahkan meninggal dunia pada 4.39 petang.

"Terdapat kesan melecur di bahagian kiri muka serta lengan mangsa.

Punca kematian mangsa ada kaitan dengan kepanasan, menurut ACP Nasri dalam satu kenyataan media hari ini (14 Jun).

Sehubungan itu, ibu mangsa yang juga seorang suri rumah ditahan polis bagi membantu siasatan, lapor Bernama.

ACP Nasri berkata suspek membawa mangsa untuk mengambil dua anaknya berusia sembilan dan 10 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lahad Datu 2 pada 1.00 tengah hari dan selepas itu pulang ke rumah.

Namun, ketika sampai di rumah, suspek meletakkan keretanya jenis Perodua Bezza di tepi jalan rumah dan memesan anak sulungnya agar membawa keluar mangsa dari kereta dan masuk ke rumah.

"Ketika itu suspek mahu menunaikan solat di tingkat dua rumahnya dan selepas itu tertidur.

"Bagaimanapun pada 3.45 petang ketika suspek dan suaminya mahu makan, memanggil mangsa untuk makan bersama tetapi tiada jawapan, dan kehilangan mangsa itu dicari sehingga ke rumah jiran tetapi tidak berjaya," katanya.

Bernama melaporkan ACP Nasri sebagai berkata suspek kemudian mencari mangsa di keretanya dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menyusuli pemberkasan suspek itu, polis turut merampas kereta jenis Perodua Bezza berwarna biru dan kes disiasat atas kesalahan menyebabkan kematian akibat perbuatan cuai.

- Bernama/ZM/zm

Top