Images
  • baby
    Gambar hiasan bayi.

Bayi 2 bulan dipercayai mati tersedak susu di rumah pengasuh

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia dua meninggal dunia selepas dipercayai tersedak susu semasa di rumah pengasuhnya dalam kejadian di Gombak, pada Isnin (11 Jan).

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata berdasarkan maklumat awal, bayi itu dihantar oleh ibu bapanya ke rumah pengasuh berkenaan di sebuah pangsapuri di Gombak pada pukul 8.00 pagi.

Menurut ACP Arifai, pengasuhnya mendakwa bayi itu diberikan susu sebelum ditidurkan, namun pada kira-kira 11.45 pagi wanita tersebut mendapati bayi berkenaan tidak memberi respons ketika digerakkan.

“Berikutan itu, pengasuh berusia 43 tahun tersebut dan suaminya bergegas membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik berdekatan di Jalan Prima Gombak di sini, dan doktor klinik berkenaan mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini (12 Jan).

Menurutnya polis menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira pukul 1.00 tengah hari dan pemeriksaan awal pihaknya tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada badan bayi itu.

"Bayi itu merupakan anak pertama pasangan suami isteri, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun yang bekerja sebagai operator kren dan pembantu tadbir.

“Mereka tinggal berjiran dengan pengasuh di pangsapuri itu,” katanya, menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Selain bayi berkenaan, pengasuh itu turut menjaga lima bayi lain dengan dibantu oleh adiknya yang berumur 22 tahun.   

- BERNAMA/NA/na

Top