Images
  • bateri
    Petikan gambar dari video.

Bateri iPhone meletup setelah digigit lelaki ini

TAIPEI: Gara-gara ingin memastikan bateri baru telefon bimbit yang akan dibeli tulen, seorang lelaki menggigitnya dan menerima padah.

Pada Jumaat lalu (19 Jan), semasa mencari bateri ganti untuk iPhone miliknya di kedai-kedai elektronik di China, seorang lelaki memutuskan untuk menggigit bateri di sebuah kedai untuk mengetahui sama ada ia tulen.

Perbuatannya itu menyebabkan bateri tersebut tiba-tiba meletup dan terbakar, lapor Taiwan News.

Rakaman video insiden aneh itu dimuat naik ke laman miaopai.com pada 20 Januari dan dikongsi lebih empat juta kali.

Menerusi rakaman video tersebut, lelaki berkenaan dilihat memasukkan bateri itu ke dalam mulut dan menggigitnya.

Gigitan itu mungkin menyebabkan balutan bateri tersebut koyak, tiba-tiba meletup dan terbakar. IKejadian itu mengakibatkan api dan lelaki itu serta teman wanitanya disambar api.


Mujur, menurut laporan-laporan media, kedua-dua mangsa tidak cedera teruk.

Namun ramai orang yang berada dalam kedai itu begitu terkejut dengan letupan tersebut, lapor laman Taiwan News.

Memberikan respons kepada rakaman tersebut, seorang warga siber mengkritik lelaki berkenaan dengan berkata: "Bateri itu bukan emas, mengapa awak menggigitnya?"

Isu bateri iPhone menjadi hangat disebabkan tindakan Apple memperlahankan sistem model-model lama menerusi bateri-bateri lama. Syarikat itu menawarkan potongan harga bagi bateri ganti di merata dunia, termasuk China.

Walaupun demikian, kedai-kedai elektronik di China dipenuhi dengan barangan palsu. Lantaran itu, lelaki berkenaan mengambil langkah menguji ketulenan bateri tersebut dengan menggigitnya, walaupun cara itu salah.

- Agensi berita/NK/nk

Top