Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bas hidrogen 'mungkin huraian' sektor pengangkutan awam S'pura

Syarikat pengeluar bas yang terbesar di Britain beroperasi dari sebuah bangunan usang yang berusia 80 tahun di luar Glasgow. Ia adalah sebuah kemudahan yang menceritakan tentang sejarah syarikat itu lebih daripada masa depannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bas hidrogen 'mungkin huraian' sektor pengangkutan awam S'pura

Sebuah bas sifar pengeluaran karbon di ibu pejabat Alexander Dennis di Scotland. (Gambar; Jack Board)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 06:45PM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 10:55PM

GLASGOW: Syarikat pengeluar bas yang terbesar di Britain beroperasi dari sebuah bangunan usang yang berusia 80 tahun di luar Glasgow. Ia adalah sebuah kemudahan yang menceritakan tentang sejarah syarikat itu lebih daripada masa depannya.

Namun di sebalik wajah syarikat Alexander Dennis (ADL), inovasi teknologi sedang dijalankan dan begitu jelas bahawa usia syarikat itu tidak mencerminkan arus kemodenan pemimpinnya.

ADL sudah beroperasi selama hampir 126 tahun. Namun, rentak perubahannya tidak pernah sepantas ini, yang sekarang dipacu oleh perubahan iklim dan kemajuan teknologi, kata presiden dan pengarah urusan syarikat itu, Paul Davies.

Sektor pengangkutan bertanggungjawab menyumbang sekitar 20 peratus pengeluaran karbon di peringkat global. Ia merupakan pencemar utama yang perlu dikawal supaya seluruh dunia dapat mengekalkan suhu pemanasan bumi kurang daripada 1.5 darjah Selsius iaitu matlamat utama rundingan perubahan iklim yang sedang berlangsung di COP26 di Glasgow.

Syarikat itu mempunyai kemudahan di 10 negara termasuk Hong Kong, China dan Singapura di mana para pengguna pengangkutan awam mungkin sudah terbiasa dengan beratus-ratus bas dua tingkat Enviro500 yang digunakan di negara-negara tersebut.

Dalam persaingan teknologi untuk menghadkan pengeluaran karbon dalam sektor pengangkutan, Davies percaya ia bukan soal mempunyai satu-satunya huraian, sebaliknya, banyak huraian.

"Perbahasannya adalah sama ada ia dipacu oleh tenaga bateri-elektrik atau hidrogen, hakikatnya ia adalah kedua-duanya," katanya.

CABARAN DI ASIA

Meskipun kedua-dua kenderaan yang berkuasa bateri-elektrik dan tenaga hijau hidrogen adalah teknologi bersih dan bebas karbon, terdapat perbezaan dari segi kos, kepelbagaian dan kesesuaian berdasarkan iklim-iklim tertentu.

Di negara-negara beriklim panas seperti di Asia Tenggara, keperluan tenaga tambahan untuk menyediakan alat hawa dingin dalam bas akan menjejas prestasi bas yang menggunakan kuasa elektrik.

Analisis daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mencadangkan bahawa kuasa tambahan bas untuk penyejukan atau pemanasan boleh menggunakan 20 peratus daripada tenaga dalam bas itu sendiri.

"Ini sangat ketara. Ia boleh menjejas prestasi bas. Namun, bagi laluan perjalanan yang tidak terlalu panjang dan terdapat kemungkinan untuk melakukan cas, ia boleh menggunakan bateri," kata Leonardo Paoli, penganalisis teknologi tenaga.

Singapura merancang untuk menghentikan penggunaan kenderaan petrol dan diesel menjelang 2040 dan tidak membenarkan kereta dan teksi yang menggunakan diesel untuk didaftarkan mulai 2025.

Infrastruktur mengecas kenderaan di tempat-tempat awam dilancarkan dengan pantas, dengan sasaran untuk memasang 60,000 tempat pengecas di merata Singapura menjelang 2030 bagi menampung peralihan ke kenderaan elektrik. Perumahan awam yang baru juga mempunyai keupayaan untuk menyokong khidmat mengecas kenderaan elektrik di 15 peratus daripada tempat letak kereta.

Singapura juga meletakkan sasaran untuk mempunyai 100 peratus teksi dan bas awam yang lebih mesra alam dan menggunakan tenaga bersih menjelang 2040.

Sungguhpun demikian, tempahan terakhir oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bersama ADL yang diberikan pada 2019 adalah bagi bas-bas Enviro500 yang menggunakan diesel.

"Kita perlu berusaha lebih gigih. Cabaran kita adalah untuk mengubah bas-bas ini daripada berkuasa diesel kepada sesuatu yang lain. Kita perlu menukarnya kepada bebas karbon," kata Davies.

"Hidrogen mungkin satu huraian bagi Singapura. Penghasilan hidrogen sedang dijalankan pada rentak yang pantas. Kami bersedia menghadapi segala kemungkinan. Kami mempunyai beratus-ratus jurutera yang berbakat untuk mengharunginya."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan