Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bapa dan anak di M'sia derita jantung berlubang

Kehidupan keluarga Encik Mohd Faizul Redzuan Abd Malik boleh diumpamakan sudah jatuh ditimpa tangga apabila beliau turut ‘berkongsi’ penyakit jantung berlubang dengan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Bapa dan anak di M'sia derita jantung berlubang

Rabiatul Syakilyn Mohd Faizul Redzuan (depan, berbaju merah jambu) disahkan menghidap penyakit jantung berlubang semenjak lahir. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Nov 2020 02:39PM Dikemas Kini : 18 Nov 2020 02:43PM

BATU PAHAT: Kehidupan keluarga Encik Mohd Faizul Redzuan Abd Malik boleh diumpamakan sudah jatuh ditimpa tangga apabila beliau turut ‘berkongsi’ penyakit jantung berlubang dengan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun.

Encik Mohd Faizul Redzuan, 35, berkata jantung berlubang yang dialaminya sewaktu kanak-kanak itu kembali menyerang kesihatannya apabila dimaklumkan doktor injap jantungnya mula terbuka menyebabkan beliau kerap demam dan sukar membuat kerja berat.

Rabiatul Syakilyn, anak kedua daripada lima beradik itu pula disahkan bermasalah dengan jantung semenjak lahir dan perlu mendapatkan rawatan hampir setiap bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Menurut isterinya, Cik Azlin Ahmad, mereka bukan sahaja terpaksa mengikat perut bagi menampung kos rawatan serta perbelanjaan malah ada kalanya terpaksa menebalkan muka meminta sumbangan rakan-rakan serta penduduk sekitar kediamannya di Kampung Parit Othman, Parit Sulong, dekat sini.

Akibat masalah kewangan dan juga kesihatan, rawatan untuk anaknya ‘Rubi’ kini tidak lagi dapat diteruskan, tambahan suaminya kini sendiri tidak mampu untuk melakukan kerja berat.

“Semenjak tidak lagi melakukan rawatan di HSA hampir lima tahun, masalah jantung Rubi kini semakin serius. Selain bermasalah dengan jantung berlubang, injap jantungnya juga kini bermasalah dan memerlukan pembedahan.

“Kami diberitahu kos pembedahan berkenaan memakan belanja puluhan ribu ringgit dan dengan pendapatan suami yang tidak seberapa, sememangnya kami tidak mampu. Jika diikutkan suami sendiri perlu melakukan pembedahan dan kosnya sekitar RM25,000 (S$8,000). Dia terpaksa menangguhkannya akibat masalah kewangan yang kami hadapi,” kata Cik Azlin ketika ditemui di kediamannya.

Kedua-dua pasangan itu sebelum ini berniaga menjual sarapan di tepi jalan bagaimanapun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, perniagaan itu dihentikan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan