Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bantahan Trump masuk hari ke-5 di Timur Tengah

Semalam (11 Dis) merupakan hari kelima bantahan diadakan di Timur Tengah sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Bantahan Trump masuk hari ke-5 di Timur Tengah

Bantahan turut berlaku di Beirut. (Gambar: Joseph Eid/ AFP)

Diterbitkan : 12 Dec 2017 10:18AM Dikemas Kini : 12 Dec 2017 10:22AM

BAITULMAKDIS: Semalam (11 Dis) merupakan hari kelima bantahan diadakan di Timur Tengah sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Ketika puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul di Lubnan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bertemu menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, dan memuji langkah Presiden Trump sebagai satu langkah bersejarah yang "membawa kedamaian sebaik mungkin".

Beliau juga mengatakan bahawa beliau menjangkakan "semua atau sebahagian besar" negara Eropah akan menyokong Amerika Syarikat - tetapi Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Federica Mogherini dengan tegas menolak PM Benjamin Netanyahu dan memberitahunya supaya "menyimpan harapannya untuk orang lain".

Di Kaherah, Presiden Rusia Vladimir Putin mengecam keputusan Presiden Trump dan menganggapnya sebagai "gangguan" sambil menyeru agar rundingan Israel-Palestin segera diadakan.

Selepas bertemu dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Ankara pada hari Isnin (11 Dis), Encik Putin berkata perisytiharan Trump mungkin "menggagalkan" usaha damai.

Di sidang media bersama, Encik Erdogan berkata beliau dan Encik Putin sudah mengambil pendekatan yang sama mengenai isu itu, sambil menuduh Israel terus "mengapi-apikan keadaan".

Encik Erdogan mungkin merupakan pemimpin global yang paling lantang memberi amaran keras terhadap langkah Presiden Trump itu.

Dalam ucapannya di Ankara, beliau turut berkata Amerika Syarikat adalah "dalang pertumpahan darah".

Hezbollah, yang berperang dengan Israel pada tahun 2006, mengadakan bantahan di Beirut di mana puluhan ribu orang melaungkan "Matilah Amerika!" dan "Matilah Israel!"

Di Teheran, beratus-ratus rakyat konservatif Iran yang menentang Israel berkata Trump memudaratkan lagi keadaan mereka melalui perisytiharan itu.

Di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki Israel pula, berpuluh-puluh rakyat Palestin melempar batu ke arah tentera Israel, yang bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

"Kami datang ke sini untuk menentang keputusan Trump dan kami ingin anda tahu Baitulmakdis adalah dan akan kekal sebagai ibu negara kami, dan kami akan tetap mempertahankannya," kata seorang penunjuk perasaan yang memakai topeng ski hitam.

Terdapat juga pertempuran di Hebron dan Carikan Gaza. Sekitar 27 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran itu.

Bantahan Palestin sudah berkurangan sejak ia memuncak pada Jumaat lalu (8 Dis). Namun, ada kebimbangan bahawa bantahan akan semakin kerap berlaku minggu ini. 

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan