Images
  • turki protest charlie hebdo
    (Gambar: AFP)

Bantahan di Istanbul terhadap keputusan Charlie Hebdo cetak semula kartun Nabi Muhammad

ISTANBUL: Sekitar 200 orang mengadakan bantahan di Istanbul pada Ahad (13 Sep) terhadap keputusan sebuah majalah Perancis untuk menerbitkan semula gambar kartun Nabi Muhammad.

Majalah satira mingguan Charlie Hebdo - yang menjadi sasaran serangan sekumpulan pelampau lelaki bersenjata pada 2015 - mencetakkan semula gambar-gambar mencetuskan kontroversi itu bagi menandakan permulaan perbicaraan pada awal bulan ini terhadap mereka yang dituduh bersubahat dalam serangan pembunuhan itu.

Gambar-gambar yang memaparkan Nabi Muhammad dilarang dalam Islam.

Seramai 12 orang termasuk beberapa pelukis kartun yang terkenal di Perancis, dibunuh pada 7 Jan 2015, apabila pasangan adik beradik Said dan Cherif Kouachi melakukan serangan tembakan di pejabat-pejabat majalah itu di Paris.

Beberapa penunjuk perasaan di Dataran Beyazit yang terletak di sebelah Eropah ibu kota Istanbul memegang sepanduk tertera dengan kata-kata amaran kepada Charlie Hebdo dan Presiden Perancis Emmanuel Macron bahawa "mereka akan berdepan akibat yang buruk".

Namun, Encik Macron mempertahankan "kebebasan" majalah itu "untuk menghina".

Ketua Editor TV Kudus Nureddin Sirin memberi amaran bahawa "Macron akan berdepan akibat buruk kerana keangkuhannya di timur Mediterranean dan kerana beliau menyokong penghinaan terhadap Islam dengan menggunakan kebebasan media sebagai alasan".

Beliau merujuk kepada ketegangan yang berlaku antara Ankara dengan Paris berhubung penerokaan sumber gas yang dijalankan Turki di bahagian timur Mediterranean.

Greece dan Turki terlibat dalam pertikaian berhubung sumber tenaga dan sempadan maritim, dan Perancis memberi sokongan kepada Athens, malah mengerahkan kapal-kapal ke daerah itu sebagai sokongan.

- AFP/HA/ha

Top