Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir tenggelamkan rumah; wanita dalam pantang bersalin panjat tingkap, selamatkan diri

Seorang wanita yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak terpaksa memanjat tingkap rumah untuk keluar menyelamatkan diri. Ini selepas rumah ibunya di Kuala Berang, Terengganu, ditenggelami banjir pada Isnin (2 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir tenggelamkan rumah; wanita dalam pantang bersalin panjat tingkap, selamatkan diri

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Dec 2019 08:43PM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 08:51PM

KUALA BERANG: Seorang wanita yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak terpaksa memanjat tingkap rumah untuk keluar menyelamatkan diri. Ini selepas rumah ibunya di Kuala Berang, Terengganu, ditenggelami banjir pada Isnin (2 Nov).

Cik Zaiton Mohd Ghazali, 34 tahun, memanjat tingkap rumah bersama tiga anaknya, termasuk bayi berusia tiga minggu, serta ibunya sebelum menaiki perahu untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kepah.

Beliau berkata ibunya terpaksa mendayung sendiri perahu itu sejauh satu kilometer untuk ke PPS berkenaan.

Cik Zaiton memberitahu wartawan bahawa walaupun masih sakit kerana bersalin secara pembedahan tiga minggu lalu, beliau terpaksa menggagahkan diri mendukung bayi dan membawa bersama dua lagi anak yang masih kecil untuk menyelamatkan diri.

"Saya tak sangka air banjir naik dengan begitu cepat kali ini sehingga hampir tenggelam kerusi serta katil dalam rumah. Untuk menyelamatkan diri saya, ibu serta tiga anak kecil, (kami) terpaksa keluar melalui tingkap dan menaiki perahu untuk mendapatkan bantuan di PPS," terangnya.

Pengalaman itu, menurut Cik Zaiton, akan dikenang sepanjang hayat dan menjadi pengajaran untuknya supaya lebih berwaspada pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang warga emas yang menghidap sakit buah pinggang dan angin ahmar dipindahkan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Matang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata pesakit bernama Abdul Latif Abdullah, 76 tahun, yang berasal dari Kampung Kepah, sepatutnya menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Hulu Terengganu pagi tadi.

Bagaimanapun, hujan lebat yang tidak berhenti sejak malam semalam menyebabkan air sungai naik secara mendadak dan membanjiri hampir semua kawasan di daerah Hulu Terengganu termasuk kampung Encik Abdul Latif.

"Kita terima panggilan daripada keluarga pesakit pagi tadi yang memaklumkan bahawa beliau perlu dibawa ke hospital untuk jalani hemodialisis.

"Selain Abdul Latif, ada beberapa lagi pesakit termasuk anak kecil yang demam panas dan perlu dibawa ke hospital untuk rawatan," ujar beliau. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan