Images
  • Jeddah flood 2
    Petikan gambar dari video Youtube. (Video: Saudi Gazette/ Youtube)

Banjir setinggi paras dada landa Jeddah; penangguhan penerbangan/pendaratan mungkin berlaku

MANAMA: Hujan lebat di kawasan Laut Merah mengakibatkan banjir di kota Jeddah. Banjir setinggi paras dada mengakibatkan jalan raya menjadi seperti sungai, lapor Gulfnews.

Perkembangan ini juga dikhuatiri akan menjejas pergerakan para jemaah umrah yang mendarat atau berlepas di Jeddah.

Lapangan terbang Jeddah sudahpun mengumumkan kemungkinan sebahagian penerbangan keluar-masuk ditangguhkan.

Video-video yang menjadi 'viral' di platform media sosial menunjukkan terowong dan jalan-jalan dibanjiri air. Kereta-kereta kelihatan tenggelam sementara orang ramai kepayahan untuk meneruskan kegiatan seharian mereka.


Menurut laporan Saudi Al Marsad, Pusat Krisis dan Bencana di Wilayah Makkah menutup beberapa jalan di Jeddah hari ini (21 Nov) akibat ribut petir dan angin kencang yang menjejas jarak penglihatan orang ramai.

Pusat itu turut menyenaraikan nama-nama jalan dan terowong yang ditutup buat sementara waktu sehingga tahap banjir berkurang.

Ia juga memberi amaran kepada orang ramai daripada turun ke kawasan lembah atau yang dilanda banjir, sebagai langkah keselamatan.

Sekolah-sekolah dan kolej di Jeddah dan Makkah turut ditutup. Hujan lebat dijangka berlangsung sehingga Khamis (23 Nov).

Pusat Kebangsaan Operasi Keselamatan di Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa operasi "911" mereka menerima lebih 10,900 panggilan sejak tengah hari tadi. Kebanyakan panggilan bertujuan untuk menanyakan tentang jalan-jalan yang masih dibuka untuk laluan trafik, lapor Gulfnews.

Sejauh ini, pasukan pertahanan awam tempatan menangani lebih 240 kes menyelamat dan tiga lelaki terperangkap di dalam Terowong Al Salam berjaya diselamatkan.


PENERBANGAN JUGA TERJEJAS

Sementara itu, lapangan terbang Raja Abdulaziz International di Jeddah juga mengumumkan hari ini bahawa penangguhan mungkin dijangka dalam penerbangan masuk dan keluar Jeddah kerana cuaca buruk.

Para penumpang diberitahu untuk menghubungi syarikat penerbangan untuk maklumat lanjut.

Menurut laporan Gulfnews, penerbangan Saudia menyatakan bahawa ia tidak akan mengenakan bayaran ke atas penumpang yang tidak dapat meneruskan penerbangan mereka di Jeddah dan akan mengecualikan mereka dari denda.

"Oleh kerana hujan lebat di Jeddah pagi ini, beberapa penerbangan telah ditangguhkan. Dengan mempertimbangkan keadaan pelanggan kami, mereka yang tidak dapat meneruskan penerbangan kami kerana cuaca boleh mengubah tempahan mereka atau membatalkan penerbangan selain mempunyai pilihan untuk mendapatkan kembali bayaran untuk tiket penerbangan mereka," demikian menurut syarikat itu. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top