Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir M'sia: Masih ada penduduk degil enggan berpindah

Walaupun pihak berkuasa Malaysia sentiasa mengingatkan mangsa banjir agar mematuhi garis panduan yang diberikan kerajaan, masih terdapat penduduk yang degil dan enggan berpindah apabila tiba waktunya.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir M'sia: Masih ada penduduk degil enggan berpindah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 04 Jan 2021 09:54PM Dikemas Kini : 04 Jan 2021 09:57PM

KOTA TINGGI: Walaupun pihak berkuasa Malaysia sentiasa mengingatkan mangsa banjir agar mematuhi garis panduan yang diberikan kerajaan, masih terdapat penduduk yang degil dan enggan berpindah apabila tiba waktunya.

Perkara itu disaksikan oleh pasangan pertengahan umur yang terperangkap di sebuah bangunan rumah kedai di Kota Tinggi setelah mereka diselamatkan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) hari ini (4 Jan).

Cik Sarina Sulaiman, 45, berkata beliau dan suaminya terperangkap di tingkat atas rumah kedai itu selepas banjir mulai naik sejak semalam dan kini mencecah ketinggian dua meter kerana hujan lebat sejak Jumaat.

Beliau berkata terdapat sebuah keluarga yang terdiri daripada tiga orang dewasa dan seorang kanak-kanak masih berada di sebelah rumah kedai mereka kerana tidak mahu dipindahkan oleh pasukan penyelamat.

“Ketika pasukan penyelamat tiba, keluarga itu mengatakan mereka tidak mahu diselamatkan kerana enggan meninggalkan kediaman mereka dan akan menunggu air surut dalam masa beberapa hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama.

Katanya, keluarga itu mungkin berasakan tidak perlu untuk berpindah kerana rumah kedai mereka masih mempunyai bekalan elektrik dan air serta sering mengalami kejadian banjir sebelum ini.

Berkongsi kisahnya, Cik Sarina berkata selepas rumahnya di Taman Kuso di sini dinaiki air pada Jumaat lepas, mereka memindahkan semua barang-barang ke rumah kedai di bandar dan memutuskan untuk tinggal di sana ketika paras air banjir masih berada di bawah lutut.

"Pada malam itu hujan tanpa henti, jadi suami saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan kereta ke tempat yang lebih tinggi. Sebaik Subuh, baru kami menyedari bahawa kami telah terperangkap di sini kerana air banjir telah mencapai paras dada," katanya.

Beliau, bagaimanapun bersyukur kerana masih mempunyai bekalan air dan elektrik di rumah kedai itu kerana air banjir belum sampai ke kotak fius bangunan, yang membolehkan mereka memasak dan menghubungi pasukan penyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan bot persendirian untuk memasuki kawasan pusat bandar dengan tujuan mengeluarkan barang dari premis masing-masing dikehendaki mendapatkan kebenaran pihak polis terlebih dahulu.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan