Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Banjir di Kelantan jejas hampir 6,000 penduduk

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat lebih dua kali ganda kepada 5,636 orang melibatkan 1,621 keluarga hari ini (2 Dis) berbanding 2,652 mangsa daripada 781 keluarga pada malam Ahad (1 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir di Kelantan jejas hampir 6,000 penduduk

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Dec 2019 09:43AM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 09:48AM

KOTA BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat lebih dua kali ganda kepada 5,636 orang melibatkan 1,621 keluarga hari ini (2 Dis) berbanding 2,652 mangsa daripada 781 keluarga pada malam Ahad (1 Dis).

Menurut aplikasi InfoBencana JKM, seramai 3,231 mangsa daripada 970 keluarga dipindahkan di Pasir Mas dan ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia diikuti oleh Kota Bharu membabitkan 739 mangsa daripada 209 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

Di Pasir Puteh pula, 611 mangsa daripada 165 keluarga dipindahkan di tujuh PPS manakala di Bachok 256 mangsa membabitkan 60 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Manakala di Tanah Merah, terdapat 371 mangsa daripada 50 keluarga menghuni lapan PPS, Machang dengan 219 mangsa membabitkan 65 keluarga yang dipindahkan di enam PPS dan 209 mangsa melibatkan 50 keluarga lagi di lima PPS di Kuala Krai.

Dalam pada itu, laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan tiga sungai di Kelantan melepasi paras bahaya.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.47 meter melepasi paras bahaya 9 meter berbanding 10.37 meter malam tadi (1 Dis).

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada bacaan 23.98 meter melepasi paras bahaya 23.5 meter dan Sungai Kelantan di Kuala Krai kepada 25.07 meter (paras bahaya 25 meter).

Dua sungai pula melepasi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang kepada 33.96 meter (amaran 31 meter) dan Sungai Kelantan di Kusial pada paras 15.81 meter (amaran 14 meter).

Tiga buah sungai yang melepasi paras berjaga-jaga pula ialah Sungai Galas di Limau Kasturi di paras 56.52 meter (berjaga-jaga 56 meter), Sungai Galas di Dabong di paras 34.12 meter (berjaga-jaga 32 meter) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam di paras 3.18 (berjaga-jaga 3.0 meter).

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan