Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bangladesh selamatkan 23 gadis Rohingya dari diseludup

Seramai 23 gadis Rohingya diselamatkan selepas mereka dibawa dari kem pelarian ke ibu kota Dhaka untuk diseludup ke Malaysia menerusi laluan udara, menurut polis Bangladesh pada Ahad (12 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh selamatkan 23 gadis Rohingya dari diseludup

Kem pelarian yang penuh sesak (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 12 May 2019 10:09PM Dikemas Kini : 12 May 2019 10:13PM

DHAKA: Seramai 23 gadis Rohingya diselamatkan selepas mereka dibawa dari kem pelarian ke ibu kota Dhaka untuk diseludup ke Malaysia menerusi laluan udara, menurut polis Bangladesh pada Ahad (12 Mei).

Polis Dhaka juga menahan empat pemerdagang manusia termasuk sepasang suami isteri warga Rohingya dan memperoleh lebih 50 pasport Bangladesh daripada mereka pada Sabtu.

Jurucakap polis Mokhlesur Rahman berkata mereka menyerbu sebuah kediaman di bahagian utara bandar itu dan mendapati remaja-remaja itu bersembunyi di sebuah bilik di belakang sebuah kedai jahitan.

"Mereka dijanjikan pekerjaan di Malaysia dan dibawa dari kem pelarian di Cox's Bazar," katanya kepada AFP, merujuk kepada kem masyarakat Rohingya di kawasan pesisiran pantai tenggara di Bangladesh.

Gadis-gadis berusia antara 15 dan 19 itu mungkin menjadi mangsa pelacuran paksa, kata pegawai itu.

"Kami memfailkan kes terhadap empat orang yang ditangkap dan menghantar para remaja itu kembali ke kem mereka di Cox's Bazar," kata Encik Rahman.

Abul Khair, ketua polis kawasan Ukhiya, di mana terletaknya Kutupalong, kem pelarian terbesar di dunia, berkata gadis-gadis itu sudah diserahkan kepada beliau dan akan menghantar mereka ke rumah mereka di kem.

Sekitar 740,000 masyarakat Islam Rohingya melarikan diri dari tindakan keras tentera Myanmar pada Ogos 2017 dan tiba di Bangladesh untuk menyertai 300,000 lagi yang tinggal di kem-kem pelarian.

Mendambakan kehidupan dan masa depan ekonomi yang lebih baik, para pelarian terutamanya gadis remaja mudah menjadi mangsa penyeludup manusia yang berlegar-legar di kem-kem penuh sesak.

Ribuan pelarian mempertaruhkan nyawa untuk ke Malaysia dan Thailand - kebanyakannya dengan menaiki bot - ketika Teluk Bengal tenang sebelum musim tengkujuh di akhir Mei.

Pihak berkuasa Bangladeshi sudah menghalang lebih 300 pelarian Rohingya tahun ini daripada mencuba melakukan perjalanan laut yang berbahaya dengan menaiki bot nelayan yang kecil.

Ramai juga cuba terbang ke Malaysia dan negara-negara Timur Tengah dengan mendapatkan pasport dan dokumen perjalanan Bangladesh.

Jishu Barua, seorang pekerja bantuan kemanusiaan dengan kepakaran dalam pencegahan penyeludupan manusia, berkata beliau mengendalikan 100 kes penyeludupan manusia di kem-kem tersebut dalam tempoh enam minggu lalu.

"Namun angka ini hanya sebahagian kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku," katanya kepada AFP.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan