Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bangladesh, Myanmar setuju hantar pulang pelarian Rohingya pertengahan November

Bangladesh dan Myanmar bersetuju pada Selasa (30 Okt) untuk mulakan pada November penghantaran pulang ratusan ribu kaum Muslim Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh dari serangan tentera Myanmar. Ini meskipun masih terdapat keraguan proses pemulangan akan dilaksanakan segera.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh, Myanmar setuju hantar pulang pelarian Rohingya pertengahan November

(Gambar: Sarkar/AFP)

Diterbitkan : 30 Oct 2018 10:44PM Dikemas Kini : 30 Oct 2018 10:45PM

DHAKA: Bangladesh dan Myanmar bersetuju pada Selasa (30 Okt) untuk mulakan pada November penghantaran pulang ratusan ribu kaum Muslim Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh dari serangan tentera Myanmar. Ini meskipun masih terdapat keraguan proses pemulangan akan dilaksanakan segera.

Lebih 700,000 pelarian Rohingya merentas dari kawasan barat yang majoriti penduduknya warga Buddha Myanmar, ke Bangladesh sejak Ogos tahun lalu. Ketika itu serangan pemberontak Rohingya terhadap pasukan keselamatan Myanmar mencetuskan tindak balas tentera.

"Kami mengalu-alukan permulaan proses penghantaran balik pada pertengahan November," kata Setiausaha Luar Bangladesh, Shahidul Haque kepada para wartawan di Dhaka selepas mengadakan pertemuan dengan rombongan Myanmar yang diketuai oleh pegawai kanan kementerian luar negara Myint Thu.

Encik Myint Thu memuji apa yang beliau sifatkan sebagai "keputusan yang sangat konkrit bagi memulakan penghantaran balik".

"Kami telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan mereka kembali ke persekitaran yang selamat," katanya kepada para wartawan.

Namun kumpulan hak asasi dan para pemimpin masyarakat Rohingya mengatakan utara wilayah Rakhine, Myanmar, tempat asal sebahagian besar pelarian, belum bersedia untuk penghantaran pulang.

Para pemimpin masyarakat Rohingya yang kebanyakannya tidak mempunyai kerakyatan, mengatakan bahawa mereka tidak akan kembali sehingga pelbagai tuntutan mereka dipenuhi, termasuk hak untuk kewarganegaraan Myanmar.

"Kami mempunyai beberapa tuntutan tetapi pemerintah Myanmar tidak melakukan apa-apa untuk memenuhi nya. Bagaimana kami boleh kembali?" Mohib Ullah, seorang pemimpin Rohingya yang kini tinggal di tenggara Bangladesh, memberitahu Reuters.

"Bagaimana dengan kewarganegaraan kami, hak kami dan permintaan kami untuk kembali ke tanah air kami ... rumah kami sendiri?"

Kedua-dua negara mencapai kata sepakat pada November tahun lalu untuk memulakan penghantaran semula pelarian dalam tempoh dua bulan, namun proses itu belum dimulakan.

Warga Rohingya masih merentasi sempadan ke Bangladesh, dengan hampir 14,000 yang tiba tahun ini, menurut para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Para penyiasat PBB mengeluarkan laporan pada Ogos yang menuduh tentera Myanmar bertindak dengan "niat melakukan pembunuhan beramai-ramai" dan menyeru agar panglima tentera Min Aung Hlaing dan lima jeneral didakwa mengikut undang-undang antarabangsa.

Myanmar menolak tuduhan penghapusan etnik dan mengatakan tindakannya adalah sebahagian daripada perjuangan menentang keganasan.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan