Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bangladesh mahu masyarakat dunia main peranan membina cari huraian kekal krisis Rohingya

Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada Jumaat (24 Sep) menggesa pemimpin dunia agar memainkan peranan dalam huraian jangka panjang terhadap krisis Rohingya, lapor Agensi Anadolu (AA).

Anggaran Waktu Membaca:
Bangladesh mahu masyarakat dunia main peranan membina cari huraian kekal krisis Rohingya

Seorang pelairan Rohingya menerima suntikan vaksin COVID-19 di Bangladesh pada 10 Ogos 2021. (Gambar: AP/ Shafiqur Rahman)

Diterbitkan : 25 Sep 2021 11:27AM Dikemas Kini : 25 Sep 2021 11:36AM

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada Jumaat (24 Sep) menggesa pemimpin dunia agar memainkan peranan dalam huraian jangka panjang terhadap krisis Rohingya, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Masyarakat antarabangsa mesti bekerja secara membina untuk mencapai penyelesaian berkekalan bagi krisis Rohingya. Ini termasuk memastikan mereka pulang dengan selamat, mampan serta secara bermaruah dan terhormat ke kampung halaman mereka di wilayah Rakhine, Myanmar," kata Cik Hasina semasa berucap di Perhimpunan Agung PBB ke-76 di New York.

Bangladesh menempatkan lebih 1.1 juta masyarakat Muslim Rohingya yang ditindas. Kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan kejam tentera yang bermula pada 25 Ogos 2017, yang dilaksanakan dengan alasan memerangi anggota bersenjata setelah serangan pengganas dilaporkan berlaku ke atas balai polis dan pos pemeriksaan tentera.

Menekankan peranan masyarakat antarabangsa, Sheikh Hasina berkata: "Walaupun kami mengharapkan pemimpin ASEAN meningkatkan usaha mereka yang berterusan, masyarakat antarabangsa perlu menyokong semua proses kebertanggungjawapan."

Beliau juga menyuarakan kekecewaannya terhadap kelengahan proses menghantar pulang Rohingya secara aman. "Krisis Rohingya kini memasuki tahun kelima. Namun tidak seorang pun warga Myanmar boleh dipulangkan semula ke Myanmar,” katanya.

Mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam menyelesaikan krisis, Sheikh Hasina berpandangan: "Myanmar mesti menyediakan keadaan yang kondusif untuk mereka (Rohingya) kembali."

Beliau juga berkata Bangladesh telah melakukan sebaik mungkin dalam menangani masyarakat Rohingya. "Bahkan kami telah memindahkan mereka ke Bhasan Char dengan keadaan kehidupan yang lebih baik," katanya.

Semua individu Rohingya yang layak juga disertakan dalam program vaksinasi Bangladesh, kata PM Hasina, sebagai usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di kem-kem pelarian di kawasan selatan Cox's Bazar.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan