Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bandar di New Zealand mungkin haramkan kucing bagi lindungi hidupan liar asli

Omaui, sebuah bandar indah di pesisiran pantai Pulau Selatan, New Zealand mempunyai pelbagai jenis burung luar biasa. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bandar di New Zealand mungkin haramkan kucing bagi lindungi hidupan liar asli

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Sep 2018 11:14PM Dikemas Kini : 29 Sep 2018 11:36PM

WELLINGTON: Omaui, sebuah bandar indah di pesisiran pantai Pulau Selatan, New Zealand mempunyai pelbagai jenis burung luar biasa. Bandar itu juga hanya mempunyai 35 penduduk serta tujuh atau lapan ekor kucing yang amat disayangi.

Bagaimanapun, satu saranan baru yang mahu mengharamkan kucing peliharaan di bawah ‘pelan perosak’ bagi melindungi hidupan liar asli mencetuskan kemarahan dalam kalangan para penduduk, yang juga penggemar kucing. Antara lain, mereka bimbang langkah itu akan menyebabkan pembiakan tikus yang tidak terkawal.

"Kami bukanlah menyokong kucing-kucing liar, tetapi ada penduduk yang rasa ragu mengenai rancangan itu," kata Terry Dean, 75 tahun, seorang penduduk yang sudah lama menetap di Omaui.

Agensi berita New York Times difahamkan bahawa larangan itu akan menetapkan agar kucing-kucing di Omaui dipantau sehingga waktu kematian. Ini bermakna sekiranya seekor kucing mati, pemiliknya tidak akan dibenarkan untuk mendapatkan kucing baru.

Jika dasar ini diluluskan, para pemilik kucing akan diberi masa enam bulan untuk mendaftarkan kucing mereka dengan majlis serantau, serta memastikan haiwan itu menjalani pemandulan dan dipasang cip mikro.

(Gambar: @purinanewzealand/Instagram)

(Gambar: @purinanewzealand/Instagram)

Saranan itu adalah sebahagian daripada perubahan drastik bagi membantu melindungi biodiversiti kawasan tersebut daripada 72 haiwan perosak.

New York Times menukil pengurus biokeselamatan majlis serantau itu, Ali Meade, sebagai berkata bahawa kucing menimbulkan risiko sebenar terhadap fauna unik di New Zealand, yang "berkembang secara semula jadi daripada haiwan-haiwan."

Beliau berkata kamera pengawasan merakam pergerakan kucing di kawasan itu untuk memantau kerosakan yang dilakukan terhadap flora dan fauna asli.

“Terdapat kucing-kucing masuk ke dalam semak dan menghendap burung-burung, memakan serangga, reptilia dan semuanya. Keadaan itu merosakkan kitaran semula jadi,” jelas Cik Meade.

Majlis serantau itu menyatakan bahawa peraturan mengenai pemasangan cip mikro dan pemandulan terhadap kucing-kucing yang dikuatkuasakan 10 tahun lalu ke atas haiwan tersebut di Pulau Stewart berhampiran berjaya membantu melindungi burung kiwi, iaitu sejenis burung asli yang paling popular di negara itu.

Meow meow

(Gambar: @purinanewzealand/Instagram)

Walaupun kucing-kucing Omaui tidak begitu ganas, majlis berkenaan menyatakan bahawa haiwan tersebut mencetuskan keprihatinan memandangkan bandar itu amat kaya dengan hidupan liar.

"Kucing secara semulajadi adalah pemburu dan ia bukan salah mereka," kata John Collins, pengerusi Omaui Landcare Trust, kumpulan masyarakat yang melancarkan petisyen bagi menguatkuasakan larangan kucing itu.

"Saya bukan pembenci kucing. Cuma, kami tinggal di sebuah kawasan pemuliharaan yang bernilai tinggi," kata beliau.

Encik Dean, yang sudah tinggal di Omaui selama 35 tahun dan memiliki seekor kucing, berkata para penduduk tidak diajak berbincang mengenai saranan tersebut.

Beliau juga tidak pernah menjangkakan bahawa Mr Whiskers - haiwan kesayangannya akan menjadi kucing terakhir yang dimilikinya.

"Sekiranya anda kehilangan kucing-kucing itu, anda tidak akan dapat lagi mengawal tikus," kata beliau. "Haiwan tersebut menyumbang besar dalam membantu mengurangkan jumlah tikus di sini."

New York Times difahamkan bahawa kesemua 35 penduduk Omaui diberikan tempoh lapan minggu untuk memberikan maklum balas mereka mengenai saranan itu kepada majlis serantau. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan