Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Balu malim gunung daki Everest; bertekad jadi inspirasi kepada wanita senasib dengannya

Balu kepada dua pemandu Sherpa yang terkorban di Gunung Everest menyahut cabaran untuk mendaki gunung tertinggi di dunia itu bagi meneruskan pendakian suami masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Balu malim gunung daki Everest; bertekad jadi inspirasi kepada wanita senasib dengannya

Gambar fail dekat kem induk Gunung Everest. (Gambar fail: Navesh Chitrakar/Reuters)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 05:42PM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 05:47PM

KATHMANDU: Balu kepada dua pemandu Sherpa yang terkorban di Gunung Everest menyahut cabaran untuk mendaki gunung tertinggi di dunia itu bagi meneruskan pendakian suami masing-masing.

Pada masa yang sama, kedua-dua wanita itu juga berharap akan dapat dijadikan sebagai inspirasi kepada wanita lain yang senasib dengan mereka.

Suami Furdiki Sherpa meninggal dunia semasa memasang tali bagi para pelanggan asing di gunung setinggi 8,850 meter itu pada tahun 2013.

Furdiki mendedahkan bahawa beliau dan Nima Doma Sherpa akan sama-sama melakukan pendakian itu pada Mei depan.

Nima adalah isteri kepada salah seorang daripada 16 malim gunung Sherpa yang terbunuh dalam satu kejadian runtuhan salji berhampiran kem induk Everest pada tahun 2014.

"Kami akan mendaki sehingga ke puncak gunung demi memperingati suami-suami kami yang tidak dapat meneruskan pendakian tersebut," kata kedua-dua wanita itu dalam satu kenyataan.

Nima, 36 tahun, berkata mereka sudahpun selesai menjalani latihan dan pernah mendaki dua gunung sebelum ini. Lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia berdiri megah di Nepal.

Lebih 4,800 orang sudahpun mendaki Gunung Everest, yang terletak di sempadan yang memisahkan Nepal dan China, sejak Sir Edmund Hillary, seorang warga New Zealand, dan Tenzing Norgay Sherpa mendaki sehingga ke puncak gunung tersebut pada tahun 1953, menurut satu catatan oleh penulis blog Everest Alan Arnette.

Menurut para pegawai, hanya sekitar 500 daripada pendaki Everest adalah wanita.

Menurut Furdiki, 42 tahun, beliau sekeluarga bergelut dengan masalah kewangan selepas kematian suaminya.

"Kematian suami saya tidak bermakna kehidupan saya juga sudah berakhir," kata ibu dua orang anak ini kepada agensi berita Reuters.

"Saya akan meneruskan ekspedisi ini untuk menyebarkan mesej kepada wanita lain yang senasib dengan saya bahawa mereka juga boleh mencapai kejayaan daripada ekspedisi yang mencabar seperti ini." 

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan