Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Balu anak pelawak AR Badul pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

"Saya mohon jangan dibangkitkan benda yang bukan-bukan berkaitan pemergian arwah suami, kesian arwah yang telah tiada", kata balu Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut dalam insiden tertembak ketika membuat aksi gimik pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Balu anak pelawak AR Badul pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menenangkan Nour Shafinar Harun, balu Mejar Mohd Zahir Armaya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Sep 2019 05:38PM Dikemas Kini : 20 Sep 2019 05:44PM

KUALA LUMPUR: "Saya mohon jangan dibangkitkan benda yang bukan-bukan berkaitan pemergian arwah suami, kesian arwah yang telah tiada", kata balu Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut dalam insiden tertembak ketika membuat aksi gimik pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah, awal bulan ini.

Cik Nour Shafinar Harun, 31 berkata dirinya menerima dengan reda bahawa pemergian arwah suaminya adalah disebabkan kemalangan dalam latihan.

“Saya reda dengan pemergian arwah. Saya juga tidak mahu individu-individu luar mengaitkan apa-apa pasal arwah (berhubung kematiannya), sebab kita dalam badan ketenteraan ini, saya pun faham macam mana situasi begini boleh berlaku.

“Orang yang telah tiada, tetap tiada...untuk kebajikan saya selepas ini, memang pihak kerajaan akan mengambil alih dan akan dijaga oleh pihak tentera sendiri,” katanya.

Beliau ditemui BERNAMA selepas menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kem Wardieburn hari ini (20 Sep).

LEGA KERAJAAN HARGAI ARWAH

Cik Nour Shafinar turut menzahirkan kesyukuran dan rasa terharu di atas kesudian Dr Wan Azizah meluangkan masa melawat dirinya bersama anak-anak serta menasihati agar terus tabah mengharungi kehidupan mendatang selain turut lega apabila kerajaan menghargai jasa arwah meskipun sudah meninggal dunia.

Dalam kejadian pagi 4 September itu, Allahyarham Mejar Mohd Zahir yang juga merupakan anak pengarah dan pelawak terkenal, AR Badul tertembak oleh rakannya sendiri dalam jarak lingkungan lima meter menggunakan senjata api semasa acara itu.

Sementara itu, Cik Nour Shafinar memberitahu bahawa anak-anaknya yang masih kecil turut menunjukkan perkembangan positif dan memahami keadaan bahawa ayah mereka sudah tiada.

“Anak-anak semua faham dan mereka reda. Memang saya sendiri sebagai ibu beritahu mereka bahawa ‘daddy’ dah tiada dan mengajar mereka untuk sentiasa mendoakan arwah. 

“Saya turut memberitahu bahawa ‘daddy’ mereka pergi disebabkan kemalangan dalam latihan, jadi saya ajar anak-anak untuk terima dan reda dengan keadaan itu,” katanya.

TIDAK HALANG ANAK IKUT JEJAK LANGKAH AYAH

Jelasnya, ada ketika anak-anak akan menatap gambar dan wajah ayah mereka sebagai pengubat rindu.

Bagaimanapun, Cik Nour Shafinar tidak menghalang sekiranya anak-anaknya mahu mengikut jejak langkah bapa mereka untuk menjadi penembak satu hari nanti.

“Saya galakkan anak untuk teruskan perjuangan kami sebab saya pun bekas penembak tepat (tentera) juga. Anak yang sulung sudah menunjukkan sedikit ciri-ciri minatnya dan anak yang kecil (bayi) pun agresif lebih sikit,” ujarnya sambil tersenyum.

Beliau yang kini sedang hamil turut mengakui dalam proses menguruskan perpindahan mereka sekeluarga ke Perak memandangkan itu adalah hasrat terakhir arwah kepadanya.

Pegawai Tentera Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas itu merupakan penembak tepat, meninggalkan seorang balu bersama lima orang anak berumur antara enam bulan dan 10 tahun. 

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan