Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bahrain sertai UAE sambung hubungan diplomatik dengan Israel

Bahrain menyertai Amiriah Arab Bersatu dalam menyambung hubungan diplomatik dengan Israel pada Jumaat (11 Sep). Antara sebab langkah itu diambil adalah kebimbangan kedua-dua negara terhadap Iran, namun langkah itu juga mungkin akan terus memencilkan Palestin.

Anggaran Waktu Membaca:
Bahrain sertai UAE sambung hubungan diplomatik dengan Israel

Presiden Trump bercakap kepada pihak media pada 11 Sep 2020 tentang kesepakatan Bahrain-Israel untuk sambung hubungan diplomatik (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque)

Diterbitkan : 12 Sep 2020 09:32AM Dikemas Kini : 12 Sep 2020 09:38AM

WASHINGTON: Bahrain menyertai Amiriah Arab Bersatu dalam menyambung hubungan diplomatik dengan Israel pada Jumaat (11 Sep). Antara sebab langkah itu diambil adalah kebimbangan kedua-dua negara terhadap Iran, namun langkah itu juga mungkin akan terus memencilkan Palestin.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan berita itu di Twitter selepas mengadakan perbualan menerusi telefon dengan Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, menurut Rumah Putih.

"Memulakan dialog secara langsung dan hubungan antara dua masyarakat dinamik dan ekonomi maju ini akan meneruskan perubahan positif di Timur Tengah dan meningkatkan kestabilan, keamanan, dan kemakmuran di rantau ini," kata Amerika Syarikat, Bahrain dan Israel dalam satu kenyataan bersama.

Pengumuman itu dibuat sebulan selepas satu lagi negara Arab Teluk, Amiriah Arab Bersatu, bersetuju untuk menyambung hubungan dengan Israel di bawah perjanjian yang diaturkan Amerika Syarikat yang dijadualkan dimeterai di satu upacara Rumah Putih pada 15 September dengan Presiden Trump selaku tuan rumah.

Kenyataan bersama itu menyatakan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif Al Zayani akan menghadiri upacara itu dan menandatangani "Deklarasi Damai bersejarah" dengan Encik Netanyahu.

PALESTIN BIMBANG

Pada Jumaat, Encik Netanyahu berkata keputusan Bahrain itu menandakan "era perdamaian baru."

Jurucakap Kementerian Ehwal Luar UAE, Hend al-Otaiba mengucapkan tahniah kepada Bahrain dan Israel, dengan berkata ia menandakan "satu lagi pencapaian penting dan bersejarah yang akan menyumbang dengan banyak kepada kestabilan dan kemakmuran rantau itu."

Namun rakyat Palestin berasa kecewa dan bimbang langkah-langkah UAE dan sekarang Bahrain akan melemahkan pendirian lama negara-negara Arab yang menggesa Israel untuk menarik diri dari wilayah yang dijajah dan menerima pembentukan negara Palestin sebagai ganti untuk penyambungan hubungan diplomatik dengan negara-negara Arab.

"Dengan menyambung semula hubungan dengan penjajahan, Bahrain melanggar semua ketetapan Arab. Ia ditolak, dikutuk dan menunjukkan pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin," kata Wassel Abu Youssef, seorang pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin di Ramallah, di Tebing Barat yang ditakluki Israel.

Di Gaza, jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata keputusan Bahrain untuk menyambung hubungan dengan Israel "melambangkan ancaman serius terhadap matlamat Palestin, dan ia menyokong penjajahan itu."

TUMPUAN TERHADAP SAUDI

Penyambungan semula hubungan dengan Israel berlaku di tengah-tengah kebimbangan yang dikongsi mengenai ancaman Iran terhadap rantau tersebut. Persoalan terbesar kini adalah sama ada Arab Saudi, salah satu negara paling berpengaruh di Timur Tengah dan sekutu rapat Amerika Syarikat, akan mengikuti jejaknya.

Zaha Hassan, zamil pelawat di Carnegie Endowment for International Peace, berkata langkah Bahrain "sangat membimbangkan" rakyat Palestin.

"Langkah ini tidak mungkin berlaku tanpa lampu hijau Saudi," katanya. "Arab Saudi menghadapi tekanan untuk menyambung hubungan, tetapi tidak boleh melakukannya kerana kedudukannya sebagai penjaga tapak suci Islam dan itu tidak akan diterima ramai.

"Bahrain ditawarkan sebagai saguhati yang akan memastikan Trump sentiasa berpihak kepada Arab Saudi."

LIGA ARAB TIDAK KECAM PERJANJIAN UAE-ISRAEL

Di persidangan Liga Arab pada Rabu, Palestin cuba tetapi gagal menggesa kutukan terhadap perjanjian UAE-Israel dari para anggotanya. Namun sokongan Arab Saudi terhadap hak mereka untuk membentuk sebuah negara telah diperbaharui.

Pada Jumaat, kedutaan Saudi di Washington tidak menjawab pertanyaan sama ada duta besarnya atau wakil Saudi yang lain akan menghadiri upacara pemeteraian pada Selasa.

Bahrain, sebuah negara pulau kecil, menempatkan ibu pejabat serantau Angkatan Laut AS. Riyadh pada 2011 menghantar pasukan ke Bahrain untuk membantu menangani satu pemberontakan dan, bersama Kuwait dan UAE, pada 2018 menawarkan Bahrain bantuan ekonomi sebanyak AS$10 bilion (S$13.68 bilion).

Perjanjian pada Jumaat menjadikan Bahrain negara Arab keempat yang mencapai perjanjian sedemikian dengan Israel sejak Israel bertukar kedutaan dengan Mesir dan Jordan beberapa dekad lalu.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan