Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bagi ramai penduduk Lubnan, sambutan Aidiladha kali ini amat perit buat mereka

Di jalan raya Tripoli, bandar kedua terbesar di Lubnan yang juga merupakan salah satu bandar yang paling miskin di negara itu, tiada sambutan Aidiladha tahun ini. Tiada hiasan mahupun lampu yang berkelipan. Ini kerana tiada bekalan elektrik di bandar tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Bagi ramai penduduk Lubnan, sambutan Aidiladha kali ini amat perit buat mereka

Orang ramai berjalan di pasar Tripoli, Lubnan pada 29 Jul 2020 menjelang Aidiladha (Gambar: REUTERS/Mohamed Azakir)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 11:44PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 11:56PM

TRIPOLI: Di jalan raya Tripoli, bandar kedua terbesar di Lubnan yang juga merupakan salah satu bandar yang paling miskin di negara itu, tiada sambutan Aidiladha tahun ini.

Tiada hiasan mahupun lampu yang berkelipan. Ini kerana tiada bekalan elektrik di bandar tersebut.

Hanya papan iklan besar yang menyambut kedatangan pengunjung di salah satu gerbang masuk ke bandar tersebut. "Kami miskin," menurut papan itu.

Perayaan yang disambut umat Islam biasanya diraikan bersama keluarga, dengan perjumpaan yang menghidangkan daging kambing, manis-manisan dan hadiah.

Disebabkan oleh kegawatan ekonomi Lubnan, ramai kini kelaparan dan kekurangan bahan bakar sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus setiap hari, memalapkan suasana perayaan.

Dengan harga barangan yang melambung tinggi, ini bermakna hanya segelintir yang mampu meneruskan tradisi tersebut.

Banyak kedai daging di Tripoli, yang dahulunya riuh-rendah dengan pelanggan, terpaksa ditutup minggu ini.

Harga daging yang terlalu tinggi bagi kebanyakan penduduk, memaksa mereka untuk tidak melakukan ibadah korban tahun ini, dengan daging kambing atau kambing biri-biri biasanya dikongsi bersama keluarga dan didermakan kepada yang memerlukan.

"Aidiladha apa? Lihat di sekeliling anda, adakah ia kelihatan seperti pasar pada hari raya bagi anda? Di mana pelanggan?" tanya Um Tarek, ibu kepada lima orang anak.

Suaminya adalah pemilik kedai manis-manisan tetapi kini mengalami kesulitan untuk menyara hidup. Mereka boleh dianggap beruntung sekiranya mampu membeli tembikai untuk Aidiladha. "Kami hanya mampu membelinya sekali saja musim ini," katanya.

"Dulu anda berpusu-pusu ke pasar ini semasa Aidiladha," kata Ghazi Arnaout, yang kedai kasut keluarganya sudah bertahan selama enam dekad. Beliau bagaimanapun merancang untuk menutupnya selepas Aidiladha.

Hatem Abulashra, seorang peniaga haiwan ternakan, tidak mempunyai ramai pelanggan bagi Aidiladha kali ini. Harga seekor anak kambing sudah melonjak lebih tujuh kali ganda sejak tahun lalu.

"Ladang ternakan saya penuh dengan kambing biri-biri tetapi tiada pelanggan yang mahu membelinya. Apa gunanya?" katanya. "Malah keluarga saya sendiri tidak makan daging."

Bagi Iman al-Ali, yang suaminya walaupun buta terpaksa menjual sayur-sayuran, kehidupan mereka bertambah sulit selepas krisis COVID-19 melenyapkan tenaga buruh kasar yang mereka bergantung untuk mencari nafkah.

Mereka terpaksa berteduh bersama lapan orang anak mereka dalam sebuah bilik stor kecil di sebuah bangunan dan buat masa ini beliau setakat dapat berdoa agar mereka tidak kebuluran.

"Mereka meminta pakaian baru," katanya. "Tetapi kami tidak mampu membelinya." 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan